Sambutan ISN10 sempena ulang tahun ke-10

ISN memperkenalkan sambutan ‘ISN10’ sempena meraikan ulang tahun ke-10 agensi sukan berprestasi tinggi negara itu.
ISN memperkenalkan sambutan ‘ISN10’ sempena meraikan ulang tahun ke-10 agensi sukan berprestasi tinggi negara itu.
A
A
A

INSTITUT Sukan Negara (ISN) memperkenalkan sambutan ‘ISN10’ sempena meraikan ulang tahun ke-10 agensi sukan berprestasi tinggi negara itu.

ISN dalam kenyataan memaklumkan sambutan tersebut merupakan simbolik kepada peranan penting agensi berkenaan di dalam kemajuan sukan negara dan tekad warga ISN bagi meneruskan legasi kecemerlangan dalam dekad mendatang.

Sempena sambutan ISN10, ISN akan menganjurkan ISN10 Virtual Run yang bakal berlangsung dari 10 Oktober hingga 10 November dengan objektif utama memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat sambil beriadah secara santai.

"Program ini merupakan inisiatif ISN bagi menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Acara larian ini terbahagi kepada dua kategori iaitu 10 dan 42 kilometer serta terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Pada masa sama, ISN dengan kerjasama Futurise Sdn Bhd (Futurise) dan Plan A turut akan menganjurkan ISN10-Rempit Rabu E-Race Series iaitu siri perlumbaan berbasikal secara maya yang turut menawarkan hadiah bernilai RM10,000.

Menurut ISN, penganjuran siri perlumbaan yang akan berlangsung selama empat minggu bermula 15 September hingga 6 Oktober itu sebagai usaha meraikan hari bersejarah agensi itu bersama komuniti Zwift iaitu sebuah permainan video realiti maya.

ISN diumumkan sebagai badan berkanun Persekutuan di bawah KBS pada 16 September 2011. - Bernama

Artikel Berkaitan: