X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Lanjutkan tempoh Sidang DUN Kedah: Mukhriz

Mukhriz
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Kedah disaran menilai semula keputusan menetapkan sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung selama tiga jam selama tiga hari bermula Isnin depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya berharap persidangan ditetapkan dalam tempoh masa lebih munasabah iaitu berakhir sekitar jam 5 petang setiap hari atau sehingga segala urusan perbahasan diselesaikan.

Menurutnya, tidak mungkin semua agenda perbahasan dapat dilaksanakan dalam tempoh amat singkat, hanya sembilan jam dengan melibatkan 36 ADUN.

“Persidangan DUN Kedah dijadualkan pada 20 hingga 23 September, bermula dengan pembukaan sesi titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan ditangguhkan, sebelum bersambung semula esoknya selama tiga jam setiap hari.

''Bagaimana 25 ADUN Kedah mewakili backbencher kerajaan dan pembangkang berpeluang menyampaikan suara hati rakyat, berbahas untuk semak dan imbang dasar serta polisi kerajaan negeri hanya dalam tempoh tiga jam sehari?,” soal beliau dalam kenyataan akhbar pada Rabu.

Mukhriz turut mempersoalkan, agak pelik apabila Sidang DUN di kebanyakan negeri lain berlangsung dalam tempoh lebih panjang dan mencukupi, berbanding pendekatan kerajaan Pas termasuk di Kelantan dan Terengganu yang mengehadkan tempoh bersidang setengah hari.

“Sidang DUN di Selangor dan Perak juga berakhir jam 5 petang setiap hari. Agenda persidangan terlalu banyak untuk dibahaskan wakil rakyat, sebelum disusuli jawapan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) seterusnya sesi penggulungan Menteri Besar.

DUN Kedah tidak bersidang sejak November 2020, tiada perbahasan dapat dilakukan ADUN bagi mengemukakan masalah yang menekan hidup rakyat. Kita perlu lebih masa untuk bangkitkan isu Covid-19 seperti jangkitan dan kematian, program vaksinasi yang tidak memuaskan, kegawatan ekonomi, rakyat hilang pekerjaan, tekanan emosi serta isi rumah terputus bekalan makanan; semua itu tidak dapat dibincangkan di DUN selama 10 bulan lamanya,” tegas beliau.

Menurutnya, Sidang DUN adalah pentas terbaik untuk semak dan imbang bagi memastikan semua tindakan kerajaan benar-benar menepati tujuannya.

“Adakah rakyat berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri dalam membela nasib mereka yang dibelenggu krisis ini? Dalam tempoh itu, Covid-19 menjangkiti lebih 180,000 orang dan meragut lebih 1,400 nyawa rakyat Kedah,” katanya.

Pada 20 Jun, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan Sidang DUN Kedah akan diadakan setelah Parlimen bersidang, dengan mencontohi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang dipraktikkan di Parlimen untuk digunapakai pada persidangan DUN Kedah.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, pematuhan ahli Parlimen amat baik untuk kelangsungan persidangan dan Kedah boleh mencontohi SOP ketat yang diamalkan.

“Parlimen bersidang dua sesi iaitu pada jam 10 pagi hingga 1 petang dan 2.30 hingga 5 petang. Malah, perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlangsung hingga sekitar 7 malam.

''Sekiranya sekolah dibuka pada Oktober sedangkan murid tidak divaksin dan masih ramai guru belum divaksin, kenapa Sidang DUN yang dihadiri sekitar 45 orang dan sudah menerima dua dos vaksin dengan SOP ketat, tidak boleh berhimpun untuk menentukan masa depan negeri,” soalnya.

Menurut beliau, rakyat akan beranggapan kerajaan negeri ‘takut’ untuk berdepan kritikan pembangkang apabila memendekkan tempoh persidangan.

Dalam pada itu, Mukhriz menempelak kenyataan Muhammad Sanusi yang mencanang kerajaan negeri menyimpan sebanyak RM635 juta.

“Mengapa wang itu tidak dibelanjakan untuk rakyat pada saat genting? Apakah inisiatif untuk selamatkan rakyat? Kalau negeri lain menyediakan peruntukan khas untuk meringankan beban rakyat, berapa disediakan oleh kerajaan Kedah?” soal beliau lagi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!