Orang asli mahukan sekolah dekat dengan rumah

P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komuniti orang asli di Gua Musang mahu kerajaan membina sekolah rendah berdekatan petempatan mereka di Pos Simpor, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy.

Beliau berkata perkara itu disampaikan kepadanya semasa melawat kawasan tersebut dan beliau akan memanjangkannya kepada Kementerian Pendidikan.

Waytha Moorthy yang mengadakan lawatan dua hari ke beberapa petempatan orang asli di Gua Musang bermula Khamis, berkata berdasarkan pemerhatiannya, komuniti itu masih belum pulih daripada trauma susulan tragedi di Pos Tohoi pada 2015 yang mengorbankan lima anak mereka.

“Saya juga bertemu dengan mereka yang terselamat dan jelas mereka masih dalam trauma. Ramai kanak-kanak di Pos Simpor serta kampung berdekatan tidak ke sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, jarak di antara petempatan terbabit dan Sekolah Kebangsaan Tohoi yang menyediakan asrama untuk anak-anak orang asli juga adalah terlalu jauh.

Waytha Moorthy yang turut bermalam di Pos Simpor selain melawat Kampung Penad, Kampung Sedal dan Kampung Jader, berkata jalan yang lebih baik juga perlu dibina bagi menghubungkan kampung-kampung berkenaan dengan dunia luar.

“Pada masa ini mereka menggunakan tinggalan jalan balak. Jalan-jalan ini dibaiki oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli dari semasa ke semasa namun ini tidak memadai.

“Perlu ada jalan bertar yang akan dapat menyelesaikan banyak masalah mereka selain meningkatkan kegiatan ekonomi mereka di samping memastikan komuniti berkenaan mendapat penjagaan kesihatan yang lebih baik kerana mereka akan lebih mudah ke bandar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Waytha Moorthy berkata kerajaan Pakatan Harapan akan mengadakan Persidangan Orang Asli Kebangsaan bulan depan.

Persidangan itu akan disertai semua pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan dan suku kaum Orang Asli dalam usaha menggubal satu pelan yang lebih jelas untuk membantu komuniti berkenaan meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.- Bernama