Penduduk resah, pokok condong tunggu masa tumbang

Keadaan pokok yang condong ke jalan di Jalan 7D/6.
Keadaan pokok yang condong ke jalan di Jalan 7D/6.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk di Jalan 7D/6, Taman Setapak Indah di sini meminta pihak berkenaan menebang pokok yang semakin condong di kawasan itu.

Seorang penduduk, Andrew Chan, 40-an, berkata, kebanyakan penduduk di sini meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan berdekatan pokok condong dan keadaan itu amat membimbangkan terutamanya ketika hujan.

"Saya tidak dapat bayangkan sekiranya pokok yang semakin condong ini tumbang dan terkena kenderaan penduduk.

"Jika tak tumbang, kemungkinan dahan pokok patah yang pastinya akan menyebabkan kerosakan pada kenderaan penduduk di sini," katanya sewaktu tinjauan Pegawai Khas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Andre Lai di lokasi pada Selasa.

Seorang lagi penduduk, Michael Wong, 40-an turut meluahkan keresahan dengan kedudukan pokok besar berdekatan rumahnya yang telah menyebabkan kerosakan pada bahagian bumbung.

"Pokok besar dan daunnya lebat hingga terlalu hampir dengan rumah. Selain merosakkan bumbung rumah, pokok ini juga telah menutup kabel elektrik.

"Situasi itu menyebabkan saya bimbangkan dengan keselamatan kanak-kanak yang bermain dalam kawasan rumah, " katanya.

Sementara itu, Andre berkata, pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju telah menerima aduan berkenaan pokok-pokok yang mempunyai risiko tinggi untuk tumbang di Jalan 8D/6 dan Jalan 9D/6.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, beliau telah turun ke kawasan lokasi bagi mengenal pasti lokasi pokok-pokok berisiko tinggi untuk dipanjangkan aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Untuk kes di Setapak Indah, DBKL telah menghubungi saya dan memberi jaminan tindakan secepat mungkin akan dilakukan.

"Saya berharap ia diselesaikan segera kerana pokok ini boleh tumbang pada bila-bila masa dan membahayakan pengguna," katanya.

Katanya, Jabatan Landskap DBKL juga diminta melakukan penyelenggaraan pokok secara proaktif susulan beberapa kes pokok tumbang di Wangsa Maju yang ada antaranya telah menimpa beberapa buah kereta ketika hujan lebat.