X

Kindly register in order to view this article
!

Strategi baharu hadapi Covid-19 mula diatur

A
A

SHAH ALAM - Pembukaan semula sidang Parlimen sejak Isnin lalu menyaksikan perubahan baharu dalam perkembangan politik dan pentadbiran negara.

Pada masa sama, perkembangan tersebut didapati memperlihatkan impak positif kepada penambahbaikan usaha dan strategi dilaksanakan oleh pentadbiran negara bagi menangani krisis pandemik Covid-19.

Ini kerana, di samping keterbukaan untuk bekerjasama dengan pembangkang melalui memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, kerajaan kini dilihat turut mula menggunakan Dewan Rakyat bagi menjelaskan mengenai strategi dan polisi baharu bagi menghadapi wabak tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ketika menjawab soalan di Parlimen pada Selasa menyatakan kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembukaan sektor ekonomi termasuk di neggeri yang berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, langkah 'mengurung' rakyat tidak lagi sesuai memandangkan sebahagian beasr daripada rakyat Malaysia sudah menerima vaksin Covid-19 dan penerusan langkah tersebut katnaya dikhuatiri akan mendatangkan lebih banyak implikasi termasuk kesihatan mental.

Menurutnya, pembukaan ekonomi bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi, malah memberi peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup.

Katanya, keputusan pembukaan sektor ekonomi itu mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Perkara itu dilihat selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memaklumkan negara bakal memasuki fasa endemik menjelang hujung Oktober tahun ini.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang akhbarnya di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan sedang berusaha mengurangkan jumlah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 daripada 181 ketika ini kepada hanya 10 dalam masa terdekat.

Menurut Hishammuddin, langkah untuk memperkemaskan SOP yang telah digunapakai selama lebih setahun itu dilakukan bagi membolehkan ia lebih mudah difahami rakyat.

Dalam pada itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad turut mengumumkan pada Selasa bahawa seramai 1.2 juta pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bakal kembali ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober depan.

Noraini berkata, bagi membentuk persekitaran yang selamat dan imuniti kelompok di kampus, kebenaran untuk memasuki kampus hanya diberikan kepada pelajar, staf akademik dan bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin.

Persidangan Parlimen pada Selasa turut diisi dengan beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh pembangkang antaranya adalah daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan mengenai kenaikan harga ayam di dalam negara.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, pengawalan harga yang dilakukan kerajaan ketika ini sangat lemah kerana harga ayam telah merekodkan kenaikan lebih 29.5 peratus hanya dalam tempoh setahun.

Persoalan mengenai isu tersebut dan pelbagai lagi perkara lain melibatkan kebajikan rakyat pastinya akan terus dibahas dan dibangkitkan di Parlimen yang akan bersidang sehingga 12 Oktober ini.

Manakala kerajaan tentunya bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan dan seterusnya mengambil tindakan yang sepatutnya demi kesejahteraan rakyat.

Sikap kerajaan untuk terus mengamalkan keterbukaan dan ketelusan ketika mentadbir negara pastinya akan mengembalikan keyakinan rakyat yang mana ia merupakan aspek terpenting dalam memandu negara keluar daripada krisis Covid-19.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!