X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Hamzah perjelas isu ahli Parlimen tidak dibenar masuk Parlimen 2 Ogos

Datuk Seri Hamzah Zainudin
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan tidak membenarkan Ahli Dewan Rakyat memasuki pekarangan Bangunan Parlimen pada 2 Ogos lepas adalah bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, ia susulan terdapat hampir 100 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di bangunan Parlimen.

“Isu ini adalah isu kerajaan nak menjaga Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya mereka dapat hadir pada hari ini, kerana ketika itu virus Covid-19 merebak begitu ketara di Parlimen.

“Apabila dimaklumkan kepada pihak polis, kalau boleh jangan ada orang masuk untuk kita pastikan dapat lakukan sebaik mungkin untuk buat sanitasi dalam Dewan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

RSN Rayer (PH-Jelutong) sebelum itu membangkitkan isu Ahli Parlimen tidak dibenar memasuki kawasan Parlimen pada 2 Ogos, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pula mempersoalkan sejak bila pejabat ketua pembangkang diharamkan dari dimasuki oleh beliau selaku ketua pembangkang.

Mengenai isu kompaun dikenakan kepada ahli Parlimen yang berkumpul untuk memasuki kawasan itu, Hamzah berkata, tindakan diambil kerana aktiviti berkumpulan adalah salah dari segi undang-undang dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik Covid-19.

Bagaimanapun nilai kompaun yang dikenakan dikurangkan hasil perbincangan beliau bersama Menteri Kesihatan.

Sementara itu, mengenai isu dibangkitkan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang dikatakan dihalangi daripada memasuki Parlimen pada tarikh sama bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Hamzah berkata, terdapat kekhilafan yang berlaku mengenai perkara itu.

“Oleh kerana kita nak pastikan semua berjalan baik supaya sanitasi dijalankan sebab itu diarahkan tidak benarkan sesiapa masuk.

“Keputusan itu bercanggah dengan kekhilafan yang berlaku apabila Speaker minta mesyuarat PAC diteruskan...tak timbul sama ada nak tutup jalan, atau tak benarkan sesiapa masuk kerana yang penting kita nak pastikan Covid-19 tidak menjadi sesuatu yang besar,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mengendalikan sidang semasa perkara itu dibangkitkan berkata, Parlimen tidak tutup ketika itu dan beliau telah arahkan Setiausaha Dewan Rakyat untuk membenarkan semua ahli Parlimen masuk.

“Pendapat saya juga pejabat-pejabat Ahli Yang Berhormat sememangnya terbuka dan perlu diberi akses pada setiap masa yang munasabah.

“Itu pendirian saya bagaimanapun tentang jalan ditutup, itu di bawah tindakan polis dan kenapa mereka tutup saya tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara ini,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!