PRK Rantau: Calon diputus dalam mesyuarat biro politik

Wan Azizah ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. -Foto Bernama
Wan Azizah ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - PKR akan memikirkan calon yang sesuai untuk PRK DUN Rantau dan memutuskannya dalam mesyuarat biro politik parti itu, kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata kedudukan Dr S. Streram sebagai calon PH yang teraniaya pada PRU14 akan turut diambil kira.

"Calon PKR belum lagi diputuskan. Biro politik akan bermesyuarat dan fikirkan,” katanya ketika ditanya pemberita apakah Streram akan dicalonkan semula pada PRK Rantau.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian itu di sini hari ini.

Pada PRU14, calon Barisan Nasional yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang kerusi DUN Rantau tanpa bertanding selepas Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat pencalonan.

Streram kemudiannya memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad itu.

Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov lepas mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah. Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan pula menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban itu sekali gus membuka laluan untuk PRK diadakan di DUN Rantau. -Bernama

Artikel Berkaitan: