Nurhasmeyra 'hadiah' terakhir isteri
NILAI - Baru sehari selesai menjalani kuarantin di rumah akibat Covid-19, seorang suami reda apabila isteri tercinta meninggal dunia selepas dua minggu anak ketujuh mereka selamat dilahirkan.
Mohd Shahril Hakimi Hamdan, 41, disahkan positif Covid-19 pada 9 Ogos lalu apabila menjadi kontak rapat kepada isterinya, Hasmira Hussain, 38, yang ketika itu mengandung tujuh bulan.
Bagaimanapun, isterinya menghembuskan nafas terakhir pada 20 Ogos lalu dan paling menyedihkan, Allahyarhamah tidak berpeluang menatap wajah anak yang dilahirkan.
Turut disahkan positif ketika itu ialah lima daripada enam anaknya yang berusia lima hingga 20 tahun.
Mohd Shahril Hakimi yang lebih mesra dengan Kimi berkata, dia tidak menyangka gejala hilang deria rasa dan bau selain batuk berpanjangan yang dialami isterinya adalah disebabkan Covid-19.
"Saya sebenarnya antivaksin kerana tak percaya dengan kewujudannya sehinggalah ia terjadi kepada keluarga saya sendiri.
"Bila lihat keadaan arwah yang bergejala, saya bawanya ke Klinik Kesihatan Nilai untuk buat saringan. Hanya ALLAH yang tahu perasan saya bila diberitahu yang isteri positif," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Rumah Rakyat Nilai di sini pada Isnin.
Menurutnya, Allahyarhamah isterinya telah dimasukkan ke hospital pada 4 Ogos dan kemudian ditidurkan pada 7 Ogos.
Sebelum ditidurkan, katanya, dia dan anak-anak sempat membuat panggilan video dengan Allahyarham yang berpesan supaya menjaga anak lelaki tunggal mereka baik-baik.
"Saya pun memang tak boleh buat apa kerana sedang kuarantin di rumah. Hanya mampu berdoa dari jauh saja. Keesokannya, anak kami selamat dilahirkan secara pembedahan, tapi arwah isteri masih tidak sedarkan diri," katanya yang berniaga kuetiau goreng sebagai pendapatan.
Meskipun begitu, Kimi sentiasa cuba berfikiran positif yang isterinya akan kembali sedar, namun ALLAH lebih menyayangi Allahyarhamah yang menghembuskan nafas terakhir pada 20 Ogos.
Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana berkesempatan menguruskan jenazah isterinya yang bebas daripada Covid-19.
Mengakui pada awal menerima perkhabaran itu, dia seperti hilang punca lebih-lebih lagi memikirkan kehadiran cahaya mata baharu dalam keluarganya.
"Selama 21 tahun saya hidup dengan arwah, dia yang menguruskan semua hal anak-anak. Bila dah jadi macam ini, saya betul-betul jadi kekok nak menguruskan anak sendirian. Mujurlah anak-anak saya rajin membantu, " katanya.
Sementara itu, Kimi berkata, lebih 10 orang yang sudah menyatakan hasrat mahu mengambil anaknya yang baru dilahirkan itu sebagai anak angkat.
Namun, katanya, walau susah macam mana sekalipun dia tidak akan menyerahkan anaknya kepada orang lain.
"Saya akui mula-mula keadaan akan jadi susah buat saya, tapi biarlah kesemua anak saya membesar di depan mata saya. Buat masa ini saya menumpang di rumah ibu selepas buat keputusan berpindah keluar dari rumah sewa sejak seminggu lalu.
"Tamat saja tempoh 14 hari selesai suntik vaksin dos kedua, saya akan mula berniaga semula dan memulakan hidup baharu bersama anak-anak," katanya.
Bercerita mengenai anak bongsunya, kata Kimi, walaupun dilahirkan tidak cukup bulan, namun dia berada dalam keadaan sihat.
"Tapi saya masih dalam proses nak pilih susu mana yang sesuai untuknya. Saya juga menamakan anak kami dengan nama Nurhasmeyra sempena nama arwah isteri Hasmira," katanya.