X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

KDA FC muncul naib juara Liga Super tanpa skuad besar

Kesebelasan utama KDA FC bertemu MU FC di Stadium Darul Aman pada Ahad. FOTO KEDAH DARUL AMAN (KDA) FC
A
A

DISIPLIN yang tinggi dan komitmen yang baik ditunjukkan oleh pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi antara faktor kejayaan buat pasukan tersebut untuk muncul naib juara Liga Super 2021.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, walaupun pasukannya dibentuk dengan bajet yang tidak besar dan merupakan sebuah pasukan yang kecil, pemain-pemainnya yang dimiliki mereka masih mampu memberikan saingan kepada pasukan lawan.

Menurutnya, faktor kejayaan mereka juga turut disumbangkan oleh semangat juang tinggi pemain-pemain mudanya apabila sentiasa bersiap sedia untuk diturunkan.

"Kita tidak mempunyai skuad yang besar selain tidak mempunyai pasukan pelapis seperti pasukan besar lain seperti JDT FC, Terengganu FC dan Selangor FC.

"Selain itu kita turut berdepan dengan masalah kecederaan serius seperti Syazwan Tajuddin dan ada juga pemain yang telah keluar seperti Rozaimi Abd Rahman," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Ahad.

Hijau Kuning sah dinobatkan sebagai naib juara Liga Super 2021 selepas menang bergaya 4-1 ke atas Melaka United (MU) FC di Alor Setar.

Mengulas lanjut, beliau akui perjalanan untuk menjadi naib juara Liga Super 2021 tidak mudah seperti yang dirancang apabila pada sesetengah perlawanan, pasukannya juga tidak beraksi dengan konsisten yang baik.

Jelasnya, rentak permainan pasukannya juga terjejas apabila saingan liga yang terpaksa berhenti akibat pandemik Covid-19 termasuk beberapa pemain dipanggil menyertai pasukan kebangsaan masing-masing.

"Tekanan lebih dirasai apabila hanya mempunyai 21 pemain bersama tiga penjaga gol sahaja bagi menghadapi jadual padat iaitu berdepan sembilan perlawanan dalam tempoh lebih kurang sebulan," ujarnya.

Mengulas mengenai aksi bertemu MU FC pula, Aidil Sharin berkata, beliau mengakui pasukannya bermula dengan kurang baik, namun secara keseluruhan masih mampu mengawal tempo permainan laju pihak lawan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih MU FC, Zainal Abidin Hassan berkata, dua gol pada separuh masa pertama oleh tuan rumah jelas menjejaskan momentum pemain-pemainnya.

"Saya tidak nafikan datang ke sini untuk dapatkan mata, tetapi disebabkan oleh dua gol pada separuh masa pertama telah merencatkan usaha pemain-pemain MU FC. Namun pemain-pemain saya telah berusaha pada separuh masa kedua dan dapat menjaringkan gol dan memberikan tekanan pada KDA FC.

"Malangnya, dua gol lagi pada separuh masa kedua yang mudah diperoleh oleh tuan rumah telah menyusahkan kami lagi. Saya mengakui KDA FC beraksi dengan lebih baik pada malam ini," katanya.

Menjelang persiapan Piala Malaysia 2021 pula, Zainal Abidin berkata, beliau mengakui banyak perkara yang perlu dilakukan dan dititikberatkan oleh semua pemain-pemainnya kerana saingan kejohanan tersebut juga turut memberikan saingan yang sengit.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!