X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Kes denggi di NS menurun 82 peratus

Gambar kecil: Veerapan
A
A

SEREMBAN - Kes demam denggi di Negeri Sembilan mencatatkan penurunan sebanyak 82 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar, S Veerapan berkata, bilangan kes denggi yang didaftarkan di negeri ini pada minggu ke-36 (5 hingga 11 September) sebanyak enam kes sahaja menjadikan kumulatif kes sebanyak 421 kes berbanding 2,326 kes pada tempoh yang sama tahun 2020.

"Taburan kumulatif kes denggi di negeri ini sebanyak 336 kes di daerah Seremban, Jempol dan daerah Port Dickson masing-masing 18 kes, Jelebu, dan Tampin masing-masing 15 kes, Rembau (13) serta enam kes di daerah Kuala Pilah.

"Tiada kes kematian dilaporkan di Negeri Sembilan pada minggu semasa menjadikan kumulatif kematian sebanyak satu kes sehingga 11 September lalu dengan kadar kematian kes sebanyak 0.3 peratus berbanding lapan kes pada tempoh yang sama tahun lalu," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut Veerapan, setakat ini sebanyak satu sahaja lokaliti wabak yang masih aktif di daerah Seremban.

Katanya, aktiviti pencegahan dan kawalan masih diteruskan dengan menjalankan aktiviti cari dan musnah di kediaman dan kawasan persekitaran, penerangan, semburan pengasapan dan promosi kesihatan.

"Masyarakat digalakkan melaksanakan pembersihan kawasan premis 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat atau bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi.

"Memandangkan Negeri Sembilan kini berada dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara, gotong-royong kendiri digalakkan di kawasan rumah di samping menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan," katanya.

Veerapan turut memaklumkan bekalan repelen boleh didapati di setiap klinik kesihatan di Negeri Sembilan jika ada ahli keluarga yang dijangkiti demam denggi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!