Pekebun sayur rugi RM163,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Seorang pekebun sayur kerugian RM163,000 selepas terpedaya dengan peluang pelaburan secara dalam talian yang diperkenalkan seorang wanita dikenali melalui laman sosial Facebook. (Gambar kecil: Mohd Wazir)
Seorang pekebun sayur kerugian RM163,000 selepas terpedaya dengan peluang pelaburan secara dalam talian yang diperkenalkan seorang wanita dikenali melalui laman sosial Facebook. (Gambar kecil: Mohd Wazir)
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekebun sayur kerugian RM163,000 selepas terpedaya dengan peluang pelaburan secara dalam talian yang diperkenalkan seorang wanita dikenali melalui laman sosial Facebook.

Suspek menghubungi mangsa yang berusia 25 tahun pada Sabtu minggu lalu menyatakan hasrat untuk berkawan sebelum meminta nombor telefonnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek kemudian memperkenalkan mangsa kepada sebuah laman web dan mengajarnya cara untuk mendaftar bagi mendapatkan keuntungan melalui pelaburan yang ditawarkan.

Menurutnya, mangsa berminat untuk menyertainya dengan jumlah pelaburan RM163,000.

"Mangsa membuat bayaran bermula pada Selasa minggu lalui melalui 24 transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank atas nama syarikat berbeza.

"Daripada jumlah pelaburan itu, mangsa mendakwa hanya menerima sedikit bayaran keuntungan pada awalnya," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Wazir berkata, mangsa syak telah ditipu apabila mendapati laman web tersebut telah ditutup dan akaun e-Wallet atas nama syarikat itu juga turut dibekukan.

"Ekoran pembekuan akaun e-Wallet tersebut, mangsa tidak dapat mengeluarkan semua wang modal pelaburan yang telah dibayar.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja, Cameron Highlands pada Ahad untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.