Kerajaan, pembangkang tandatangan memorandum persefahaman esok

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan dan pembangkang bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik pada esok, 13 September 2021 jam 5 petang bertempat di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia.

Wakil kerajaan dan parti Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama pada Ahad berkata, kedua-dua pihak bersepakat untuk mengambil pendekatan kerjasama secara dwipartisan menerusi memorandum persefahaman tersebut.

Perjanjian itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua PH iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“Tindakan ini bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi negara di samping menangani wabak Covid-19.

“Dengan persefahaman tersebut, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban,” jelasnya.

Kenyataan bersama itu melibatkan wakil kerajaan antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Manakala wakil PH pula melibatkan antaranya Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.

Artikel Berkaitan: