X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Sekolah akan dibuka dengan sistem penggiliran bermula 3 Oktober

Mohd Radzi bercakap pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sesi persekolah akan dibuka semula secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober depan dengan kapasiti 50 peratus murid secara penggiliran mingguan bagi pembelajaran bersemuka.

Kelas secara fizikal itu hanya melibatkan negeri di bawah Fasa 3 dan 4 manakala negeri di bawah Fasa 1 dan 2, sekolah kekal ditutup kecuali bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan tersebut dibuat bukan hanya melalui perbincangan dengan pihak kementerian, tetapi turut membabitkan ibu bapa, guru, pengetua sekolah dan pakar.

“Kita akan laksanakan penggiliran minggu dengan pembahagian murid dalam satu kelas kepada dua kumpulan. Maknanya, 100 peratus dipecahkan kepada dua kumpulan dan kita laksanakan untuk semua kelas.

“Ini bermaksud secara keseluruhan hanya 50 peratus daripada keseluruhan murid akan datang ke sekolah pada satu-satu masa.

“Menguruskan lima juta pelajar, 500,000 pendidik dan 10,000 sekolah bukan satu perkara mudah,” katanya pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah pada Ahad.

Dalam pada itu, Radzi berkata, pihaknya mewajibkan pemakaian pelitup muka untuk sesi persekolahan yang akan dibuka nanti berbanding kelonggaran yang diberikan sebelum ini.

Menurutnya, bagi murid daripada keluarga latar belakang sosio ekonomi yang rendah dan miskin, pihak KPM akan berikhtihar untuk membekalkan keperluan tersebut bagi kegunaan di sekolah.

Selain itu ujar beliau, semua murid dikehendaki makan di dalam kelas semasa waktu rehat namun bagi kelas yang menggunakan penghawa dingin, mereka perlu makan di luar dengan pemantauan guru.

“Umumnya, kita kekalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk murid makan dalam kelas waktu rehat di bawah pengawasan.

“Aktiviti sukan dan ko-kurikulum pula masih lagi belum dibenarkan. Namun begitu untuk kelas Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, kita boleh benarkan dengan syarat murid telah siap memakai pakaian sukan dari rumah dan mereka tidak menyalin baju mereka di sekolah.

“Kita ingin mengelakkan kesesakan dalam bilik persalinan apabila semua murid masuk untuk menyalin baju,” jelasnya.

Beliau memohon kepada ibu bapa agar tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bergejala dan bagi murid yang mengalami gejala ketika waktu persekolahan, kit ujian kendiri akan disediakan.

“Kita akan sediakan kit ujian kendiri untuk guru menempatkan murid ini di bilik isolasi dan murid ini akan melaksanakan ujian tersebut.

“Sekurang-kurangnya kita dapat asingkan murid ini lebih awal daripada kelompok lain. Itu sebahagian dari usaha untuk memastikan yang bergejala tidak datang ke sekolah dan yang menunjukkan gejala itu kita tangani lebih awal,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!