X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Keutamaan banteras rasuah libatkan ahli politik

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub
A
A

SHAH ALAM - Ahli politik merupakan golongan pertama yang perlu diberi perhatian dalam usaha membanteras amalan rasuah di negara ini kerana mereka bertanggungjawab menentukan masa depan negara.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, usaha melibatkan kumpulan politik perlu kerana mereka adalah 'decision maker' dan pembuat dasar.

Katanya, selain itu pasukan Rasuah Busters juga mengajak seluruh rakyat Malaysia bangkit membenci rasuah demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

"Untuk itu, gerakan pasukan Rasuah Busters berusaha untuk memastikan kumpulan pertama ini yang melibatkan ahli politik adalah kumpulan pemimpin yang bebas rasuah.

"Untuk itu kita perlukan pemimpin yang berintegriti tinggi sahaja untuk berada di tampuk kepimpinan negara," katanya dalam ucapan aluan majlis pelancaran gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah secara maya pada Sabtu.

Tambah Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, pasukan Rasuah Busters akan bertindak sebagai mata dan telinga untuk mendesak sebuah kerajaan serta kepimpinan politik yang bersih menerusi gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, menerusi kempen Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang dilancarkan hari ini, terdapat enam tuntutan yang diberi perhatian oleh pasukan Rasuah Busters.

Katanya, tuntutan pertama adalah berhubung pelaksanaan dan sokongan penuh kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan keduanya mempercepatkan pembentangan dan perlaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik.

Menurutnya, tuntutan ketiga untuk memastikan kebebasan dan ketelusan institusi terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

"Tuntutan keempat memperkenal dan mengadakan Pilihanraya Pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Anti Lompat Parti, seterusnya pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18 serta melaksanakan reformasi parlimen," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!