PBS Saujana Utama perlu dana operasi

Azman (empat, kiri) bersama sebahagian anggota PBS Saujana Utama memerlukan dana orang ramai bagi menampung kos operasi dan pembelian peralatan baharu.
A
A

SAUJANA UTAMA – Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama memerlukan dana bagi memenuhi keperluan serta menampung kos operasi.

Ketua Balai PBS Saujana Utama, Azman Abdul Razak berkata, bangunan balai PBS sedia ada, serba kekurangan tanpa kemudahan elektrik dan air berikutan kekangan dana.

Menurutnya, pihaknya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan ahli sukarela dan penduduk setempat bagi menampung kos harian memandangkan lebih 20 kes diterima dalam tempoh sebulan.

“Bangunan PBS ini sebenarnya belum cukup keperluannya termasuk bekalan air dan elektrik memandangkan kita tiada terima sebarang peruntukan khas untuk ini dari mana-mana pihak setakat ini.

“PBS yang diwujudkan sejak 2014 ini juga masih memerlukan tambahan kelengkapan kalis api, peralatan menangkap haiwan berbisa, hos bomba kerana penggunaan tidak terkawal,” katanya.

Menurutnya, PBS Saujana Utama yang beroperasi 24 jam, menerima panggilan kecemasan hampir setiap hari selain bantuan bersihkan longkang setiap minggu atas permintaan penduduk.

“Kebanyakan kes diterima adalah kes ular dan kebakaran terbuka selain bantuan khidmat khas gotong-royong penduduk setempat untuk penggunaan peralatan hos bomba.

“Tidak dinafikan ada kelengkapan disediakan pihak jabatan namun tidak cukup hingga terpaksa dibeli sendiri untuk melancarkan operasi di dalam radius 25 kilometer.

“Kami dalam perancangan untuk mendapatkan jentera baharu bernilai RM50,000 dan sudah dipanjangkan kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 12168010024571 atas nama Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia