X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

TFC tekad tebus maruah pasukan

Sebahagian pemain TFC menjalani latihan sebelum berkunjung ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang bagi menentang Penang FC, Ahad ini. - Foto Facebook Terengganu FC
A
A

TERENGGANU FC (TFC) bertekad menebus 'maruah' yang tercalar selepas tewas tiga kali berturut-turut dalam aksi-aksi terakhir Liga Super musim ini.

Untuk itu ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain menuntut pasukannya menampilkan persembahan terbaik ketika kunjungan ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang bagi menentang Penang FC, Ahad ini.

Beliau berkata, pemainnya tidak mempunyai pilihan selain mencatat kemenangan ke atas skuad Harimau Kumbang itu bagi memastikan skuad Penyu mengakhiri saingan musim ini di kelompok tiga teratas liga.

"Perlawanan ini pasti berbeza kerana bukan sahaja perlawanan terakhir liga musim ini, bahkan bakal menentukan kedudukan akhir kami dalam carta.

"Selepas tiga perlawanan kami sia-siakan dengan gagal mengutip sebarang mata, saya harap pemain mengambil peluang ini dengan bermain seolah-olah di final," katanya ketika dihubungi Bernama.

TFC kini menghuni tangga keempat carta Liga Super dengan 37 mata di belakang Penang FC yang berkelebihan tiga mata.

Tambah Nafuzi lagi, walaupun pasukannya kalah teruk 1-4 kepada Penang FC di laman sendiri pada pusingan pertama liga Mei lalu, ia bukanlah penentu bagi keputusan perlawanan Ahad ini.

Menurutnya, skuad Penyu kali ini lebih bersedia berhadapan dengan Penang FC yang diakui memiliki kelebihan dari segi fizikal pemain serta jentera serangan yang berkualiti.

"Saya sedar pasukan lawan akan menurunkan pemain terbaiknya pada perlawanan itu nanti, tetapi kami juga mempersiapkan bahagian pertahanan supaya lebih bersedia.

"Insya-ALLAH kami akan perbaiki kelemahan yang ada dan membalas kepercayaan penyokong skuad Penyu dengan kemenangan," katanya. Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!