Isu jalan di Gebeng perlu kerjasama semua pihak

Andansura meninjau keadaan sistem saliran tidak sempurna yang menjadi punca berlakunya masalah jalan sentiasa di genangi air berhampiran Bukit Pengorak di sini. - Foto FB Andansura Rabu
Andansura meninjau keadaan sistem saliran tidak sempurna yang menjadi punca berlakunya masalah jalan sentiasa di genangi air berhampiran Bukit Pengorak di sini. - Foto FB Andansura Rabu
A
A
A

KUANTAN - Masalah laluan berhampiran Bukit Pengorak, Gebeng di sini yang digenangi air sejak sekian lama perlu diselesaikan secara libat urus semua pihak bertanggungjawab.

Masalah berkenaan juga membahayakan pengguna laluan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, masalah itu sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib namun tindakan yang diambil tidak membantu menyelesaikan perkara itu.

Andansura tidak menolak kemungkinan aktiviti sebuah tapak penyimpanan dan pemprosesan bijih besi berhampiran juga menyumbang kepada keadaan jalan yang berlopak dan digenangi air.

"Kita dapati aliran air dari operasi mereka memasuki longkang awam dengan membawa bersama pasir dan tanah hingga berlaku mendapan.

"Keadaan itu menyebabkan longkang tidak dapat menampung aliran air terutama ketika hujan lebat," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Menurutnya, perkara itu perlu membabitkan penguatkuasaan dan penyelenggaraan.

Artikel Berkaitan:

Andansura (tiga kanan) bersama wakil JAS dan MBK ketika melakukan tinjauan di lokasi pada Khamis.PIX FB ANDANSURA RABU
Andansura (tiga kanan) bersama wakil JAS dan MBK ketika melakukan tinjauan di lokasi pada Khamis.PIX FB ANDANSURA RABU

Andansura bersama wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sebelum itu meninjau lokasi pada Khamis bagi mengenal pasti punca berlaku aliran berkenaan.

Beliau berkata, tinjauannya mendapati struktur saliran air yang tidak sempurna dan longkang jarang diselenggarakan memburukkan lagi keadaan.

"Masalah ini berpunca daripada sistem saliran yang tidak sempurna kerana berdasarkan laporan daripada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dan Roadcare (M) Sdn Bhd mengesahkan tidak berlaku kebocoran atau paip pecah di kawasan tersebut," katanya.

Andansura memberitahu, perkara itu akan dibincangkan bersama pelbagai agensi berkaitan pada minggu hadapan termasuk

sebuah syarikat gas bagi memastikan keselamatan laluan saluran paip gas di kawasan itu.

"Laluan itu merupakan jalan utama melibatkan Kawasan Perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan yang menjadi antara sektor penting dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Tidak seharusnya keadaan itu dibiarkan ketika usaha digerakkan membawa pelabur melabur di kawasan tersebut," katanya.