X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Aminuddin kekal Pengerusi PKR NS

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar pada Khamis.
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kekal sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu disahkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri PKR di kediaman rasmi Menteri Besar pada Khamis.

Anwar berkata, dalam mesyuarat tersebut semua ketua cabang bersetuju untuk kekalkan Aminuddin sebagai Pengerusi PKR Negeri atas semangat perjuangan parti dan memperkukuhkan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Alhamdulillah, kedudukan Aminuddin sebagai Menteri Besar tidak dibangkitkan, malah mendapat sokongan padu daripada semua pihak, cuma terdapat beberapa isu yang berbangkit membabitkan keperluan parti, cabang untuk perkukuhkan jentera bagi PRU di Negeri Sembilan.

"Kita telah memberi ruang dan berbincang dengan semua termasuk Exco dan Timbalan Speaker (merangkap Timbalan Pengerusi PKR Negeri) untuk membantu memudahkan Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan pada masa sama sebagai Pengerusi MPN," katanya.

Presiden PKR semasa sidang akhbar di Kediaman Rasmi MBNS pada Khamis.
Presiden PKR semasa sidang akhbar di Kediaman Rasmi MBNS pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri PKR pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi MPN Negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Timbalannya, Datuk R Ravi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pihaknya mendengar setiap masalah yang dibangkitkan dan banyak yang memberi pandangan bagaimana untuk memperkukuhkan jentera supaya menjadi lebih kuat dan melaksanakan program-program parti sebagai persediaan menghadapi PRU nanti.

"Pandangan itu semua akan diambil kira dan kita telah pun bercakap dengan semua bagi mencari jalan penyelesaian. Kini fokus mereka lebih kepada kuatkan jentera, parti dan cabang-cabang.

"Aminuddin pula sebagai Menteri Besar, beliau juga perlu memberi perhatian kepada pembangunan kerajaan negeri dan pada masa sama perlu memberi fokus kepada parti, itu kita kena bantu memudahkan kerja beliau (Aminuddin)," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai surat akuan bersumpah (SD) yang dilaporkan sudah diberikan kepada beliau sejak April lalu, Anwar memberitahu bahawa beliau telah terima SD tersebut tetapi kedudukan sekarang ini, ramai yang sudah menarik diri, jadi perkara itu tidak dibangkitkan lagi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!