Saifuddin ucap tahniah sempena ulang tahun ke-22 Suhakam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sempena sambutan ulang tahun penubuhannya ke-22 pada Khamis.

Dalam satu kenyataan, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suhakam atas pembabitan secara aktif dan membina, serta sentiasa memudah cara dan memberi sokongan kepada Kementerian Luar dan Kerajaan.

“Sejak penubuhannya di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) pada 9 September 1999, usaha berterusan Suhakam dapat dilihat dalam melaksanakan fungsi berkanun dan mandat yang telah diberikan, terutamanya bagi meningkatkan kesedaran umum mengenai hak asasi manusia dan pendidikan di negara ini.

“Suhakam juga telah memainkan peranan penting dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) dan memperkenalkan modul hak asasi manusia di sekolah–sekolah kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata sejak bertahun-tahun, kementerian telah menjalinkan kerjasama membina dengan Suhakam dalam usaha kerajaan untuk memenuhi komitmen Penilaian Berkala Sejagat (UPR).

“Sukacita ingin saya tegaskan janji saya sebagai Menteri Luar, bahawa kementerian ini akan terus komited untuk memperkukuh keterlibatan dengan Suhakam, melalui pendekatan berasaskan hak asasi manusia dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Ini adalah penting selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia bagi tempoh 2022–2024,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: