Dijel 15 bulan kerana pandu kereta atas landasan kereta api

Sebuah kenderaan dipandu di atas landasan kereta api di sebuah stesen kereta api di Birmingham baru-baru ini. - Foto Polis Pengangkutan Britain/SWNS
Sebuah kenderaan dipandu di atas landasan kereta api di sebuah stesen kereta api di Birmingham baru-baru ini. - Foto Polis Pengangkutan Britain/SWNS
A
A
A

BIRMINGHAM - Seorang pemandu dipenjarakan selepas dia memandu sebuah kenderaan di atas landasan kereta api sehingga menyebabkan jadual perjalanan pengangkutan awam itu terjejas baru-baru ini.

Aaron O'Halloran, 31, sebelum ini memandu kenderaannya pada jam kira-kira 7.30 pagi menuju ke sebuah stesen kereta api di Birmingham.

Berdasarkan televisyen litar tertutup (CCTV), dia kemudian didapati memandu kenderaan Mitsubishi Shogun di atas landasan kereta api hampir satu kilometer sebelum bertindak meninggalkannya.

Namun, para pegawai menemui sebuah telefon bimbit di dalam kenderaannya menyebabkan dia dapat dikesan dan didakwa di mahkamah kerana melakukan perbuatan tersebut.

Sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan dan tidak boleh memandu selama 15 tahun setelah dia terbukti melakukan kesalahan itu.

Sebelum ini, dia juga menafikan memandu kenderaan itu walaupun telah ditunjukkan dengan imej yang dirakamkan menerusi CCTV di stesen kereta api tersebut kepada polis.

O'Halloran turut menafikan kepada polis bahawa perbuatannya itu telah membahayakan orang ramai yang menaiki kereta api, memandu secara haram dan memandu kenderaan tanpa insurans.

Perbuatannya itu telah menyebabkan jadual perjalanan pengangkutan awam tersebut ditangguhkan selama lapan jam dan kerugian sebanyak £23,000 (RM131,224). - Agensi

Artikel Berkaitan: