MOT arah siasat pengendali lori rempuh lima kenderaan

Kejadian lori hilang kawalan rempuh lima kenderaan di Jalan Ipoh Sentul pada Isnin.
Kejadian lori hilang kawalan rempuh lima kenderaan di Jalan Ipoh Sentul pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengarahkan siasatan terhadap pengendali lori yang terbabit dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, siasatan akan dibuat oleh audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sekiranya pengendali terbabit didapati gagal mematuhi audit ICOP yang merupakan sebahagian daripada syarat-syarat lesen kenderaan perkhidmatan perdagangan, tindakan penggantungan atau pembatalan lesen pengendali di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh diambil oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Malah tindakan penggantungan lesen memandu juga boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, sebanyak enam kenderaan terlibat dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang selepas sebuah lori dipercayai hilang kawalan di lampu isyarat Jalan Ipoh.

Ka Siong berkata, siasatan awal dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui ujian saringan air kencing pemandu yang terbabit mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemandu terbabit boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tujuh tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun selain denda tidak kurang daripada RM30,000 serta tidak lebih RM50,000.

Malah katanya, pemandu terbabit juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

Artikel Berkaitan:

“MOT ingin menegaskan kepada semua pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan supaya sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memelihara keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Diharapkan kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang,” jelasnya.