Gantung Parlimen: Kes rayuan Anwar didengar 28 September ini

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 28 September ini untuk mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi enggan memberi kebenaran bagi mencabar tindakan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.

Peguam Anwar, Sangeet Kaur Deo, ketika dihubungi mengesahkan tarikh rayuan tersebut selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Wan Nor Aklima Wan Salleh pada Selasa.

Pada 22 April lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan ketua pembangkang itu selaku pemohon atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu berdasarkan Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan persekutuan.

Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 25 Januari lalu dengan menamakan Perdana Menteri dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh jemaah menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires. - Bernama

Artikel Berkaitan: