Penggiat seni kreatif diberi kelonggaran beroperasi

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Penggiat seni kreatif kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju memberi kelonggaran beroperasi kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan sektor industri kreatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran yang berkuat kuasa mulai Khamis ini bagaimanapun terhad kepada mereka yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

"Kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif, yang diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, aktiviti yang dibenarkan adalah pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.

"Siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan turut dibenarkan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio," katanya.

Beliau berkata, penggambaran di dalam dan luar studio turut dibenarkan kepada individu yang telah lengkap suntikan vaksin.

"Persembahan hiburan jalanan dalam bangunan (indoor busking) dan persembahan di lounge hotel turut dibenarkan," katanya.

Ismail Sabri berkata, aktiviti panggung wayang turut dibuka kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi secara pradaftar dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis turut dibenarkan.

"Pameran seni secara janji temu kepada pengunjung yang telah lengkap vaksinasi dengan kapasiti pengunjung 30 peratus turut dibenarkan," katanya.

Menurutnya, keputusan tersebut adalah antara usaha berterusan kerajaan yang prihatin untuk merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.

"Industri kreatif menyumbang sebanyak 2 peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019," katanya.

Tambah Ismail Sabri, selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran berkenaan juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Saya ingin menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.

"Insya-ALLAH kerajaan akan sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan terbaik yang mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.