Institut memandu dibenar beroperasi mulai Khamis ini

Wee Ka Siong - Foto Bernama
Wee Ka Siong - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Industri latihan pemanduan (ILP) kenderaan motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai Khamis ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, walaupun institut memandu (IM) boleh mula beroperasi mulai Khamis, proses pengujian bagi mendapatkan lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 September.

“Tempoh masa ini diperuntukkan kepada pihak IM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengusaha IM di negara ini mengalami situasi perit susulan arahan penutupan operasi pusat latihan tersebut sejak hampir empat bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain terpaksa menampung kos operasi tinggi, IM juga terpaksa menangguhkan latihan ratusan calon yang sedang dalam proses untuk mendapatkan lesen memandu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengusaha institut memandu perit tanggung kos operasi

Mengulas lanjut, Ka Siong menambah, kebenaran yang telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu tertakluk kepada pematuhan beberapa perkara.

“Pertamanya, pematuhan sepenuhnya ke atas prosedur operasi standard (SOP) PPN berfasa yang berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

“Kedua, pekerja, tenaga pengajar dan calon telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan sijil digital vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan sebagai pembuktian.

“Ketiga, syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin,” katanya.

Institut memandu di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai Khamis ini.
Institut memandu di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai Khamis ini.

Menurutnya, sekiranya kadar peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin adalah 40 peratus, kapasiti pekerja dibenarkan beroperasi adalah sebanyak 60 peratus.

Katanya, sekiranya 60 peratus telah lengkap menerima vaksin, 80 peratus pekerja dibenar beroperasi manakala syarikat akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus sekiranya 80 peratus pekerja mereka lengkap menerima vaksin.

“Keempat, kehadiran mana-mana kakitangan atau calon yang bergejala, sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ‘person under surveillance (PUS) dan sedang dalam perintah kuarantin adalah tidak dibenarkan.

“Kelima, mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka dan penyediaan ‘hand sanitizer’,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam pada itu, Ka Siong turut mengumumkan pemberian moratorium selama tiga bulan kepada pengendali IM iaitu sehingga 30 November depan untuk keperluan pembaharuan permit.

“Bagi mana-mana yang tempoh sah laku permitnya tamat di antara bulan Januari hingga September 2021.

“Diharapkan dengan pengoperasian semula ILP ini dapat memberi kelegaan kepada pengusaha-pengusaha ILP atau IM, tenaga pengajar dan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkaitan,” katanya.