Buru wanita fitnah polis

ZAMRI
ZAMRI
A
A
A

JERTIH- Polis sedang memburu seorang wanita berusia 26 tahun kerana dipercayai memfitnah anggota polis yang menyamannya di Bandar Jertih, di sini, pada Jumaat lepas.

Suspek yang beralamat di Kampung Cherang Meliling, dekat Jertih itu dikatakan memuat naik kata-kata berunsur fitnah menerusi laman sosial Facebook pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum itu, anggota polis lelaki terbabit bersama seorang rakan setugas yang menjalankan ronda cegah jenayah terserempak dengan suspek sedang menunggang motosikal Honda Wave tanpa memakai topi keledar kira-kira jam 12 tengahari.

Menurutnya, anggota polis terbabit mengarahkan suspek berhenti namun pada awalnya dia tidak endah sebelum polis berjaya menahan motosikalnya.

“Anggota polis berusia 34 tahun dan rakan setugasnya kemudiannya mengeluarkan saman dan kemudian suspek bertindak meninggikan suara dan tidak memberi kerjasama.

“Suspek bukan sahaja enggan mengeluarkan lesen tetapi mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis itu,” katanya.

Mohd Zamri berkata, memandangkan suspek enggan memberi kerjasama, anggota polis terbabit cuba menggari suspek, namun dia bertindak menepis gari itu sehingga menyebabkan kecederaan pada tangannya.

Menurutnya, suspek juga tidak menandatangan saman yang dikeluarkan kemudian meninggalkan anggota polis terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Pada jam 3.30 petang, anggota polis lelaki itu mendapati seorang pemilik akaun Facebook (suspek) telah memuat naik di dalam laman sosial itu menyatakan anggota polis itu bersama rakan setugasnya telah mengejar dan memakinya.

“Suspek juga menyatakan dia dipukul dengan gari sehingga luka dan tangannya hampir patah,” katanya.