X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Abdul Azeez belum bebas tuduhan rasuah, penggubahan wang haram

Abdul Azeez Rahim - Foto Fail Bernama
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa mahkamah masih belum membebaskan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram

SPRM dalam satu kenyataan berkata, hujahan daripada peguam bela Abdul Azeez mengenai analisis laporan kewangan daripada agensi itu belum diputuskan oleh mahkamah.

“Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut.

“Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan semalam (Isnin).

“Susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan,” menurut SPRM dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa laporan analisis kewangan SPRM sebelum ini membebaskan Abdul Azeez daripada tuduhan membabitkan rasuah memandangkan beliau merupakan pekerja Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Peguamnya, Amer Hamzah Arshad berkata, analisis laporan kewangan oleh SPRM menunjukkan Abdul Azeez adalah pekerja syarikat itu dan beliau menerima gaji yang sah serta membayar cukai pendapatannya.

Amer berkata, berdasarkan fakta tersebut, pihak berkaitan tidak boleh berbolak-balik kerana dari satu segi, mereka mengakui Abdul Azeez sememangnya makan gaji dengan syarikat itu tetapi pada masa sama, masih mendakwanya dengan pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti yang tidak sah daripada majikan.

Mengulas lanjut, SPRM berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan.

Abdul Azeez mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM5.2 juta yang mempunyai kaitan dengan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterimanya daripada syarikat Menuju Asas.

Bagi pertuduhan rasuah, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan Affin Bank, Puchong City Centre, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018 manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan perbuatan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!