X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Wakil rakyat pembangkang sertai jawatankuasa khas DUN Johor

Hasni
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan ketua dan wakil-wakil rakyat pembangkang bagi membincangkan dasar sosial dan ekonomi pasca Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pembentukkan jawatankuasa khas itu selari dengan langkah kerajaan negeri yang komited untuk sentiasa mendengar pandangan kesemua 56 wakil rakyat termasuk 27 pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, sesi-sesi taklimat dan perbincangan yang dilakukan pada masa akan datang termasuk Belanjawan Johor 2022 juga akan melibatkan wakil-wakil pembangkang.

"Kerajaan negeri bersedia melaksanakan reformasi mengikut kesesuaian dan keperluan yang mana lebih banyak jawatankuasa khas di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditubuhkan pada masa hadapan.

"Sebelum ini beberapa sesi taklimat bersama wakil-wakil rakyat di Johor telah diadakan. Taklimat-taklimat ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dan memberikan gambaran berkenaan situasi semasa pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor ke-14 di sini pada Selasa.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berharap kerajaan negeri juga akan dilibatkan secara langsung dalam inisiatif pembukaan laluan darat yang melibatkan Tambak Johor dan Laluan Kedua ( Second Link).

Katanya, wakil kerajaan negeri perlu dimasukkan dalam jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan, antara lain akan memperbanyakkan perbincangan komprehensif mengenai pembukaan sempadan Johor-Singapura berdasarkan perkembangan terbaharu Covid-19.

"Kerajaan negeri sedar pembukaan semula Johor-Singapura merupakan komponen asas dalam usaha pemulihan ekonomi negeri. Ia sudah tentu akan merancakkan kembali sektor peruncitan dan pelancongan, selain bakal menghidupkan semula aktiviti ekonomi di Johor Bahru.

"Pembukaan sempadan Johor-Singapura juga bakal mengembalikan kepesatan sektor hartanah, yang semestinya lebih rancak khususnya apabila kerajaan Persekutuan melihat semula dasar berkenaan program Malaysia My Second Home (MM2H)," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!