Shamsubahrin didakwa lagi kes rasuah

Shamsubahrin yang sebelum ini didakwa berhubung kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sekali lagi didakwa atas kes sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Shamsubahrin yang sebelum ini didakwa berhubung kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sekali lagi didakwa atas kes sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas Big Blue Taxi Services yang sebelum ini didakwa atas kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sekali lagi didakwa atas kes sama, di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Datuk Shamsubahrin Ismail, 55, yang hadir di mahkamah dengan berkerusi roda, membuat pengakuan tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, ahli perniagaan itu didakwa meminta masing-masing RM15,000 dan RM35,000 daripada seorang lelaki berusia 42 tahun, sebagai dorongan untuk menyelesaikan kesnya di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Perindustrian Suntracks, Bandar Baru Bangi dan Hill Park, Bandar Teknologi Kajang Semenyih, pada 3 dan 7 Mac lalu.

Sementara pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima suapan RM35,000 daripada individu sama untuk tujuan sama di Persiaran Arked Seksyen U8, Bukit Jelutong di sini pada 10 Mac lalu.

Atas kesemua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat.

"Selain itu, pihak pendakwaan memohon kes rasuah yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dipindahkan dan disebut bersama kes di mahkamah di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes ini tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Shaharudin Ali, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi dan Zarina Ismail.

Menurut Shaharudin, pihaknya memohon agar Shamsubahrin diberi ikat jamin pada kadar munasabah dengan alasan mempunyai pelbagai penyakit yang amat serius.

"Ini menunjukkan beliau tiada berkeupayaan atau peluang untuk melarikan diri sangat tipis sama ada menggunakan kapal terbang, sampan atau berenang.

"Anak guam saya juga perlu mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami komplikasi paru-paru selepas dijangkiti Covid-19 sebelum ini," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Pada 27 Ogos lalu, Shamsubahrin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000, Mac lalu.