X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Bekas timbalan menteri lapor polis difitnah isu salah guna kuasa

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat disamping peguamcara yang dilantik, Muhammad Khairul Azwan Azhan dari Tetuan Afiq Aziz & Co.
A
A

TUMPAT - Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi membuat laporan polis berhubung penyebaran di media sosial yang didakwa memfitnah beliau berkait isu penyelewengan dan salah guna kuasa.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini pada jam 11 pagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat hadir bersama peguam cara yang dilantik, Muhammad Khairul Azwan Azhan dari Tetuan Afiq Aziz & Co.

Muhammad Khairul Azwan berkata, pada Ahad, anak guamnya mendapati bahawa tular tohmahan dan fitnah terhadap Che Abdullah disiarkan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Kudin Tumpat.

Katanya, fitnah tersebut turut tular di WhatsApp, Twitter dan Instagram.

“Laporan polis pada hari ini (Isnin) sebagai laporan maklumat pertama (FIR) yang bertujuan supaya pihak berkuasa memulakan penyiasatan kesalahan fitnah jenayah yang bertujuan merosakkan nama baik beliau dan jawatan yang disandang sebagai ahli Parlimen.

“Secara khususnya beliau membuat laporan ini bagi menghentikan perbuatan penyebaran fitnah dan tohmahan ke atas beliau dan jentera pentadbiran kerajaan di bawah seliaan beliau,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat di sini pada Isnin.

Ujar beliau, Che Abdullah dalam pada itu tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung kes kerana masih dalam siasatan polis.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan polis tersebut, Che Abdullah turut menegaskan bahawa beliau sudah menjalankan tugas mengikut tatacara Perolehan Kerajaan yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan Negara sepanjang menjadi Timbalan Menteri II MAFI dan Ahli Parlimen Tumpat.

“Saya menyokong ketelusan dan penyiasatan oleh pihak berkuasa yang menjalankan penguatkuasaan berdasarkan perundangan Malaysia.

“Saya menentang pembunuhan karakter, 'witch hunting', pilih kasih dan prejudis sebagaimana yang akan berlaku menerusi fitnah yang tular di media sosial tersebut,” katanya.

Pada Ahad, tular di media sosial Facebook berhubung dakwaan fitnah oleh satu pemilik akaun yang dikaitkan dengan Che Abdullah menerusi paparan jelas jawatan ahli Parlimen berkenaan dalam hantaran itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!