Tiga ahli Geng Ahai pecah kedai ditahan

Mohamad Noor menunjukkan barangan curi yang dirampas susulan penahanan suspek kes pecah kedai di sini.
Mohamad Noor menunjukkan barangan curi yang dirampas susulan penahanan suspek kes pecah kedai di sini.
A
A
A

KUANTAN - Tiga lelaki Geng Ahai ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pecah kedai peralatan elektronik kenderaan di Air Putih di sini pada 30 Ogos lalu.

Suspek warga tempatan berusia 39 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Air Putih dan Kampung Tengah di sini, sehari selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, susulan penahanan suspek, polis merampas pelbagai peralatan elektronik kenderaan bernilai lebih RM50,000.

"Turut dirampas pelbagai peralatan pecah rumah dan sebuah kereta curi yang dilaporkan hilang di Johor dan dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Mohamad Noor berkata, suspek juga dipercayai menjadikan kedai aksesori kenderaan sebagai sasaran dan menjual barangan curi kepada pembeli melalui pasaran gelap.

"Berdasarkan siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu turut terlibat dalam tiga kes pecah kedai aksesori kenderaan sekitar Kuantan yang dilaporkan dalam tempoh dua bulan ini.

"Susulan penahanan suspek, polis percaya semua kes tersebut berjaya diselesaikan," katanya.

Menurutnya, semua suspek mempunyai 12 hingga 25 rekod jenayah lampau dan pernah menjalani hukuman.

Artikel Berkaitan:

"Suspek ditahan reman sehingga Selasa ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.