NS catat kutipan hasil RM263.2 setakat 31 Julai 2021

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat (depan kanan) menjawab pertanyaan lisan pada Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri, pada Isnin. - Foto Bernama
Aminuddin yang juga ADUN Sikamat (depan kanan) menjawab pertanyaan lisan pada Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan mencatatkan kutipan hasil rendah sebanyak RM263.2 juta bersamaan 58.75 peratus setakat 31 Julai 2021, berbanding RM291.5 juta bersamaan 63.79 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Perolehan itu adalah hasil cukai sebanyak RM130.9 juta (84.14 peratus) iaitu lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas sejumlah RM124.7 juta (80.35 peratus)," katanya bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) yang bertanyakan tentang kutipan semasa kerajaan negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, pada Isnin.

Aminuddin berkata, kutipan hasil bukan cukai juga mencatatkan penurunan iaitu berjumlah RM82.2 juta (35.66 peratus) berbanding tempoh yang sama tahun lepas sebanyak RM110.6 juta (46.05 peratus).

Selain itu, katanya, terimaan bukan hasil turut mencatatkan kutipan rendah sebanyak RM50.1 juta (80.87 peratus) berbanding RM56.30 juta.

Beliau berkata, hasil bukan cukai menunjukkan penurunan yang ketara terutamanya melalui premium tanah dan permit tanah dan galian.

"Ini memberi gambaran bahawa sektor hartanah mengalami kesan yang sangat ketara berikutan situasi ekonomi semasa.

"Tapak permit pasir dan kuari yang tidak dibenarkan beroperasi turut memberi kesan kepada kutipan hasil susulan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan," katanya.

Aminuddin berkata, antara usaha yang dilakukan kerajaan negeri adalah memberi diskaun bagi premium pembangunan tanah yang telah diluluskan sebanyak 25 peratus kepada pemohon yang menjelaskan bayaran premium sekali gus dalam tempoh 30 hari dari tarikh menerima Notis 5A atau 7G daripada Pentadbir Tanah Daerah.

Artikel Berkaitan:

Selain itu diskaun 15 peratus turut diberikan kepada pemohon yang menjelaskan bayaran premium sekali gus dalam tempoh 60 hari daripada tarikh menerima Notis 5A atau 7G daripada Pentadbir Tanah Daerah bermula 1 Januari sehingga 30 Jun lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri juga melanjutkan tempoh pemberian diskaun premium pembangunan tanah yang telah diluluskan dari 1 Julai hingga 24 Disember 2021 serta melaksanakan libat urus dengan pemegang taruh berkaitan hartanah seperti Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) agar proses penilaian hartanah dapat dilaksanakan segera.

Sementara itu, beliau berkata Negeri Sembilan mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM46.3 bilion tahun ini susut sebanyak 3.6 peratus daripada RM48 bilion pada tahun lalu. - Bernama