Khairul Shahril, Sham lepas jawatan dalam Perak FC

Sham Mat Sahat, Khairul ShahrIl
Sham Mat Sahat, Khairul ShahrIl
A
A
A

IPOH - Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed mengesahkan akan melepaskan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perak FC.

Khairul Shahril menjelaskan keputusan itu dibuat tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun katanya, surat peletakan jawatan belum lagi dihantar secara rasmi memandangkan beliau sedang menjalani kuarantin sehingga Khamis ini.

"Ya, sahih (peletakan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perak FC). Itu merupakan keputusan saya sendiri," katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Datuk Sham Mat Sahat turut mengumumkan peletakan jawatan di dalam pengurusan tersebut.

Menurutnya, bukan itu sahaja, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sejak dua bulan yang lalu setelah berbincang dengan Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad.

"Walaupun saya dah lepaskan jawatan, saya tetap bantu pasukan cari dana untuk selesaikan tunggakan gaji pemain. Kita tak lari sebab ini pasukan kita, kita kena bantu.

"Dua minggu lepas saya dan YB Khairul Shahril berjaya dapatkan dana RM530,000 untuk selesaikan isu berkaitan pasukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Sham, keputusan tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada muka baharu yang lebih berkemampuan untuk berada di dalam pengurusan pasukan tersebut.

Pada Isnin media melaporkan bahawa Khairul Shahril menyatakan pendiriannya itu melalui aplikasi WhatsApp yang tular dalam kalangan penyokong Perak FC