Dijatuhkan hukuman mati kerana seludup heroin RM518 juta

Sebuah mahkamah di Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas 10 pesalah kerana menyeludup heroin di Laut Merah pada tahun 2019. - Foto AFP
Sebuah mahkamah di Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas 10 pesalah kerana menyeludup heroin di Laut Merah pada tahun 2019. - Foto AFP
A
A
A

KAHERAH - Sebuah mahkamah di Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas lapan warga asing dan dua rakyat Mesir selepas didapati bersalah menyeludup heroin dengan menggunakan sebuah kapal di Laut Merah, kata sumber kehakiman.

Heroin yang bernilai kira-kira AS$159 juta (RM518 juta) berjaya dirampas oleh pihak berkuasa sekali gus mengagalkan penyeludupan dadah itu pada tahun 2019.

Seramai tujuh warga Pakistan, dua Mesir dan seorang Iran dijatuhkan hukuman mati kerana menyeludup dadah itu.

Menurut AFP, mereka turut menyeludup kristal methamphetamine sebanyak 100 kilogram yang disembunyikan di dalam bilik stor di atas kapal terbabit, kata sumber berkenaan tanpa memberikan butiran lanjut tentang dari mana dadah itu berasal.

Bagaimanapun, rayuan berhubung keputusan itu boleh dibuat dalam tempoh dua bulan.

Kumpulan-kumpulan hak asasi sebelum ini mengkritik tindakan Mesir kerana menjatuhkan hukuman mati ke atas sebahagian pesalah di negara tersebut.

Bilangan pesalah yang dijatuhkan hukuman mati meningkat kepada 107 orang pada tahun lalu berbanding hanya 32 orang pada tahun 2019. - Agensi

Artikel Berkaitan: