X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

60,000 permohonan Rumah Selangorku diluluskan tahun ini

Rodziah (dua dari kiri) menyerahkan barangan keperluan asas kepada salah seorang penduduk di PPR Hicom, di Shah Alam pada Ahad.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor telah meluluskan sebanyak 60,000 permohonan Rumah Selangorku bagi tahun ini, kata Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail.

Menurut Rodziah, secara keseluruhan, kerajaan negeri telah menerima sebanyak 120,000 permohonan Rumah Selangorku dan terdapat kira-kira 20,000 unit sedang dibina di setiap daerah khususnya sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, kerajaan negeri masih memberi fokus bagi memastikan pembinaan setiap unit rumah berkenaan dapat disiapkan dengan lancar.

"Sebenarnya pembinaan Rumah Selangorku ini memang terjejas apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini lambat memberi kelulusan untuk sektor pembinaan beroperasi.

"Namun kita akan ambil kira semua perkara untuk pastikan pembinaannya berjalan lancar," katanya selepas meninjau operasi Pasar Mesra yang dianjurkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom pada Ahad.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, pihaknya juga turut menerima permohonan daripada pemaju projek berkenaan untuk beroperasi di luar waktu yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pembinaan rumah tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu perlu mengikut proses sewajarnya menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

"Mereka kena mohon melalui PBT untuk mendapat pertimbangan sekiranya ingin beroperasi di luar waktu dibenarkan," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau memaklumkan permohonan bagi kad sim dan data percuma buat usahawan di Selangor akan ditutup pada 15 September ini dengan sasaran 17,000 penerima.

"Alhamdulillah, inisiatif ini juga mendapat sambutan yang sangat baik daripada usahawan yang telah membuat permohonan kepada kami," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!