Guru KAFA perlu ambil vaksin

Idris beramah mesra dengan mangsa banjir yang menerima sumbangan ketika hadir menyampaikan Bantuan Musa'adah Banjir di Dewan Orang Ramai Matang Gelugor, Matang pada Ahad.
Idris beramah mesra dengan mangsa banjir yang menerima sumbangan ketika hadir menyampaikan Bantuan Musa'adah Banjir di Dewan Orang Ramai Matang Gelugor, Matang pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mungkin akan mengguna pakai kaedah Kementerian Pendidikan melarang guru belum divaksin mengajar secara bersemuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci oleh Bahagian Pendidikan Jakim berhubung perkara tersebut melibatkan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Sehubungan itu, beliau berkata, guru-guru KAFA dinasihatkan untuk segera menerima vaksin sebelum bersemuka dengan murid.

"Sepatutnya guru ini orang paling dekat dengan anak murid, kalau guru KAFA pun saya nasihatkan ambil vaksin. Apa yang takut sangat soal vaksin, setakat ini ramai mati sebab Covid-19 daripada mati kena vaksin.

"Perkara ini akan dibincangkan di bahagian pendidikan nanti. Pada saya sepatutnya cikgu itu kena ambil vaksin," katanya kepada pemberita selepas hadir menyampaikan Bantuan Musa'adah Banjir di Dewan Orang Ramai Matang Gelugor, Matang, di sini pada Ahad.

Pada 3 September, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menetapkan guru yang enggan atau masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak dibenarkan terlibat dalam sesi pengajaran di dalam kelas atau berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar.

ARTIKEL BERKAITAN: 2,500 guru enggan divaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka

Keputusan itu dibuat bagi memastikan sesi persekolahan yang akan dibuka kelak selamat bagi pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 diberikan ruang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara tidak bersemuka meskipun diarah hadir ke sekolah untuk melakukan tugasan lain yang akan diberikan kelak.