Rujuk pihak berwajib berkaitan ajaran sesat: Idris

Idris (tengah) sampaikan sumbangan kepada seorang mangsa banjir ketika hadir menyampaikan Bantuan Musa'adah Banjir di Dewan Orang Ramai Matang Gelugor, Matang, Taiping pada Ahad.
Idris (tengah) sampaikan sumbangan kepada seorang mangsa banjir ketika hadir menyampaikan Bantuan Musa'adah Banjir di Dewan Orang Ramai Matang Gelugor, Matang, Taiping pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Umat Islam di negara ini diminta merujuk kepada pihak berwajib sekiranya mendapati mana-mana ajaran yang mencurigakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam mengenal pasti ajaran sesat di negara ini.

Menurutnya, perkara itu penting kerana ia bukan sahaja melibatkan ancaman kepada agama Islam tetapi turut melibatkan keselamatan negara seperti ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

"Saya ucap terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas.

"Kita telah keluarkan kenyataan mengenai ancaman bahaya ajaran seperti ini sebab itu kita harapkan mereka yang nak belajar agama belajar secara betul di masjid dan surau kerana itu medium jelas.

"Ajaran yang pelik ini kita boleh rujuk kepada kadi atau imam di masjid masing-masing," katanya kepada pemberita selepas hadir menyampaikan Bantuan Musa'adah Banjir di Dewan Orang Ramai Matang Gelugor, Matang, di sini pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua ajaran PMYT ditahan polis

Pada Sabtu, Ketua ajaran PMYT yang mendakwa dirinya mampu berhubung dengan malaikat, Nabi Muhammad SAW dan ALLAH ditahan sekitar jam 1.10 pagi.

Artikel Berkaitan:

Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dibaca bersama mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Wanita berusia 39 tahun itu kemudiannya direman selama empat hari sehingga Selasa depan.