Dua ditahan bersama 1,592 bungkusan ketum

Nik Ahmad Kamil (tengah) menunjukkan daun ketum yang berjaya dirampas Rabu lalu.
Nik Ahmad Kamil (tengah) menunjukkan daun ketum yang berjaya dirampas Rabu lalu.
A
A
A

JELI - Dua lelaki ditahan bersama 1,592 bungkusan mengandungi daun dipercayai ketum di Kampung Bukit Ipoh, Batu Melintang di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli, Asisten Suprintendan Polis, Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, anggota bertugas menahan kereta jenis Proton Saga BLM mereka dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 9 malam, 27 Februari lalu,

"Hasil pemeriksaan dalam kereta berwarna merah berkenaan, kami menjumpai 1,592 bungkusan plastik cerah berikat getah berisi daun hijau disyaki ketum.

"Dua lelaki Melayu berusia lingkungan 30 hingga 50an dipercayai berasal dari Pasir Mas, Kelantan ditahan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Menurutnya, lelaki berusia 50-an mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, lima rekod kesalahan melibatkan dadah dan dua rekod jenayah.

"Lelaki berusia 30 tahun pula tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian saringan urin ke atas keduanya mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Nik Ahmad Kamil berkata, hasil soal siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek, ketum berkenaan diperoleh dari Sik, Kedah dengan harga RM12 sekilogram sebelum dibawa ke Pasir Mas.

"Semua ketum bernilai RM9,300 dengan anggaran berat sebanyak 310kg itu dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (30) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan:

"Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.