Rindu balik kampung bakal terubat

Kes jangkitan yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri sehingga mencetuskan kluster seharusnya menjadi iktibar buat semua pihak untuk sentiasa patuh dengan SOP ditetapkan. - Foto Bernama
Kes jangkitan yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri sehingga mencetuskan kluster seharusnya menjadi iktibar buat semua pihak untuk sentiasa patuh dengan SOP ditetapkan. - Foto Bernama
A
A
A

PENGUMUMAN Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam mengenai lebih banyak kelonggaran termasuk pergerakan rentas negeri akan diberikan dalam tempoh terdekat pastinya memberi sedikit sinar bahagia khususnya kepada anak-anak perantau.

Meskipun perkara itu masih dalam peringkat pertimbangan, namun setidaknya berita itu cukup melegakan.

Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbarnya pada Jumaat meminta rakyat Malaysia bersabar untuk melakukan aktiviti rentas negeri bagi menziarahi keluarga masing-masing.

Jelasnya, pihaknya ketika ini dalam peringkat akhir memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri sebelum dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, perbincangan telah dilakukan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi tujuan tersebut.

Namun, disebalik kegembiraan itu, rakyat juga perlu sedar bahawa kes jangkitan Covid-19 di negara ini masih lagi tinggi.

Malah, lebih membimbangkan terdapat beberapa negeri yang masih rendah nilai ambang vaksinasi.

Negeri berkenaan adalah Sabah, Kelantan, Perak, Kedah, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Jadi, di sebalik kegembiraan dengan perkhabaran baharu oleh Khairy Jamaluddin itu, setiap individu tetap perlu sentiasa berjaga-jaga kerana virus tidak mengenal siapa.

Kes jangkitan yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri sehingga mencetuskan kluster sebelum ini seharusnya menjadi iktibar buat semua pihak untuk sentiasa patuh dengan SOP ditetapkan.

Laporan juga jelas menunjukkan ramai dalam kalangan individu yang dijangkiti wabak itu daripada ahli keluarga yang merentas negeri meninggal dunia.

Jangan kita jadikan sedikit cahaya yang dilihat daripada hujung terowong ketika ini kembali gelap gara-gara tidak menjaga SOP apabila kerajaan memberi kelonggaran.

Inilah masanya untuk kita semua buktikan komitmen untuk sama-sama 'berperang' memutuskan rantaian pandemik yang membawa maut itu.

Pengalaman dua tahun hidup dalam 'sekatan' dan terhad untuk melakukan aktiviti harian seharusnya dijadikan pedoman bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: Rentas negeri: KJ minta rakyat Malaysia bersabar