Syukor Burger cipta fenomena, sejuta terjual

Syukur di hadapan kilang memproses makanan miliknya.
Syukur di hadapan kilang memproses makanan miliknya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiap usaha pasti ada jalannya. Itu yang dibuktikan Syukor Majid, 33, setelah percubaannya menjual burger mencipta 'fenomena' apabila hasil jualannya terjual 1 juta biji pada Ogos lalu.

Menurutnya, dia mengakui pencapaian hasil jualannya itu bagaikan satu mimpi memandangkan perniagaan menerusi jenama Syukur Burger itu baharu diceburinya sejak sembilan bulan lalu.

"Rasa nak menangis apabila usaha berbulan-bulan membuahkan hasil. Niat saya nak bantu buka peluang kerja kerana saat ini ramai yang terputus rezeki dan hilang sumber pendapatan.

"Sebagai usahawan tegar sejak tahun 2010, saya cuba tawarkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada mereka yang terkesan. Saya bukan wakil rakyat atau jauh sekali ahli politik, tapi saya nak bantu mereka yang bergelut ketika pandemik Covid-19," katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Syukor mengakui perniagaan sedia ada miliknya masih mampu bertahan walaupun ' sedikit merudum.

“Produk saya dalam pasar raya, 'chainstore', farmasi dan restoran semua 'drop', maklumlah Perintah Kawalan Pergerakan. Mujur bisnes dalam talian naik 300 peratus, jadi, tak terkesan sangat, malah lebih bagus dari sebelum datangnya pandemik Covid-19.

"Kilang makanan dan minuman masih mampu beroperasi seperti biasa. Lebih utama, tiada pekerja yang dibuang. Syukur Alhamdulillah," katanya.

Menceritakan percubaannya memasuki dunia perniagaan burger, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia gemar mencabar diri.

Artikel Berkaitan:

Syukur berjaya membantu 600 orang operator mengusahakan kioks burger di bawah jenama Syukor Burger.
Syukur berjaya membantu 600 orang operator mengusahakan kioks burger di bawah jenama Syukor Burger.

Katanya, segala galanya bermula apabila tular berita kadar pengangguran naik mendadak akibat pandemik dan dia terdetik untuk membantu mereka yang tersepit.

"Sekitar sembilan bulan lalu, jam 4 pagi, datang satu ilham untuk berniaga rangkaian burger. Sejam selepas itu, saya whatsapp pembantu peribadi arahkan pasukan kerja untuk hadir mesyuarat tergempar beberapa jam selepas itu. Saya memang tak sempat tidur pun ketika itu.

"Pengetahuan tentang burger masa itu memang 'zero'. Dalam masa yang betul-betul singkat, kami belajar buat semua, roti, 'patty', sos dan mayonis. Alhamdulillah sekarang sebut apa saja jenis burger pun kami sudah pandai buat," ujarnya

Syukor sedar saat ini, ramai yang terhimpit dengan pelbagai masalah dan tekanan, namun dia bersedia menawarkan peluang perniagaan.

"Ramai orang yang kekurangan wang. Jadi dalam hal ini mereka tak perlu keluar modal. Gerai burger dan bahan mentah pihak saya sediakan. Mereka hanya perlu fokus berniaga.

“Alhamdulillah sambutan cukup menggalakkan, malah ramai yang sanggup membayar ribuan ringgit untuk buka francais Syukor Burger. Tapi saya terpaksa tangguh sementara idea membuka francais kerana belum bersedia.

"Saya nak fokus bantu mereka yang tersepit ini dahulu. Sebab dari awal niat nak bantu mereka yang tak ada kerja sekali gus membimbing mereka jadi usahawan sebenar,” katanya.

Selain berjaya membuka hampir 200 peluang pekerjaan baharu, kini Syukur sudah mempunyai lebih 600 buah cawangan gerai seluruh Malaysia sekaligus berjaya membantu lebih 600 orang operator dan berhasrat untuk memiliki 1,000 buah cawangan di seluruh Malaysia penghujung tahun ini.

Menyentuh mengenai persaingan dan kekal relevan di pasaran, Syukur berkata, dengan ilmu yang cukup, produk yang unik, pengagihan yang cekap, pemasaran berterusan dan paling penting dengan izin Allah SWT tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.

"Saya tiada niat untuk bersaing dengan mana-mana jenama, hanya bersaing dengan pencapaian sendiri sahaja.

"Kalau terjumpa cawangan burger saya, sokonglah. Projek ini banyak bantu bina semula ekonomi mereka. Dengan pendapatan daripada bisnes ini mereka mampu beli susu, lampin pakai buang anak, bayar bil rumah dan sebagainya," katanya.