Sila log masuk terlebih dahulu.

Dua loji rawatan air bergerak bantu penduduk terjejas

Asyraf Wajdi (kiri) bersama Ahmad (dua kiri) melihat keupayaan loji rawatan air bergerak atau 'Portable Water Treatment Plant' yang disediakan di Dataran Jeram, Hulu Tepoh, di Kuala Nerus bagi membantu penduduk terjejas ekoran gangguan bekalan air di kawasan itu sejak 23 Ogos lalu.
Asyraf Wajdi (kiri) bersama Ahmad (dua kiri) melihat keupayaan loji rawatan air bergerak atau 'Portable Water Treatment Plant' yang disediakan di Dataran Jeram, Hulu Tepoh, di Kuala Nerus bagi membantu penduduk terjejas ekoran gangguan bekalan air di kawasan itu sejak 23 Ogos lalu.
A
A
A

KUALA NERUS - Pemuda UMNO menyediakan dua loji rawatan air bergerak atau 'Portable Water Treatment Plant' bagi membantu penduduk di dua daerah di negeri ini yang terkesan ekoran masalah gangguan air kali kedua yang berlaku sejak 23 Ogos lalu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesin itu mempunyai keupayaan untuk merawat air sungai sehingga mencapai tahap kebersihan optimum dan boleh diminum.

"Pemuda UMNO bersama Puteri dan Pergerakan UMNO Terengganu menggerakkan misi bantuan air untuk membantu penduduk di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang terjejas bekalan air.

"Dua loji rawatan air bergerak ini mampu mengeluarkan sehingga 240,000 liter air sehari bagi menampung keperluan penduduk yang terjejas," katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Jeram, Hulu Tepoh, di sini pada Jumaat.

Misi Bantuan air bersih Kuala Nerus itu dijayakan dengan usahasama Ranhill Utilities Berhad.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan bekalan air bersih di loji berkenaan sehingga jam 1 pagi pada setiap hari sehingga masalah bekalan air di kawasan terbabit selesai sepenuhnya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, sebanyak 23 tangki air disediakan dengan 12 pasukan petugas digerakkan untuk membantu agihan air kepada penduduk terjejas.

Krisis bekalan air Terengganu membabitkan 29,151 akaun pengguna di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berlaku sejak 23 Ogos lalu dijangka berlarutan hingga 12 September ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, bekalan air di dua daerah berkenaan pulih selama 10 hari selepas dilanda krisis air kali pertama selama kira-kira dua minggu sejak 2 Ogos lalu.