Empat warga Amerika Latin diberkas

Polis menjalankan siasatan di lokasi suspek kes samun berjaya ditahan di Brickfields.
Polis menjalankan siasatan di lokasi suspek kes samun berjaya ditahan di Brickfields.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasrat sekumpulan penjenayah untuk berjoli dengan wang hasil samun tidak kesampaian apabila mereka berjaya diberkas di Brickfields di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, empat penjenayah warga Amerika Latin tersebut bertindak menyamun seorang individu yang baharu mengeluarkan wang di hadapan sebuah bank di Brickfields.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, pihak polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudian mengerahkan unit kereta peronda (MPV) bagi mengesan kenderaan dinaiki suspek.

Menurutnya, kesemua suspek berjaya dikesan tidak lama kemudian di kawasan rumah kedai tidak jauh dari bank berkenaan sebelum anggota polis berjaya memintas kenderaan yang mereka naiki.

"Anggota polis pada mulanya mengarahkan suspek agar memberhentikan kenderaan yang dinaiki, namun suspek bertindak agresif dengan mengundur dan cuba melanggar anggota polis yang menahan mereka.

"Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai salah seorang daripada suspek," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Jumaat.

Tambahnya, kesemua suspek kemudian berjaya diberkas dan wang yang dirompak ditemui semula.

Mengulas lanjut, katanya, penjenayah berkenaan dikesan menggunakan modus operandi memperdayakan mangsa yang baru mengeluarkan wang di bank sebelum bertindak menyamun mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berpura-pura memberitahu mangsa bahawa tayar kereta mangsa pancit. Selepas berhenti di tepi jalan, suspek memaklumkan bahawa ada wang mangsa tertinggal di atas jalan raya yang disyaki ditaburkan suspek lebih awal.

"Kesemua suspek kemudian bertindak melarikan wang mangsa selepas mangsa terleka," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan.