X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Buruh binaan maut, adik cedera parah motosikal bertembung lori

A
A

TEMERLOH - Seorang buruh binaan maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori dan diseret kira-kira 10 meter dalam kejadian di Kilometer (KM) 139 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa, T. Vellasamygaenesan, 29, beralamat dari Taman Sri Layang, Mentakab meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, T. Mathanaruban, 27 yang membonceng motosikal cedera parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Roslee Omar berkata, kejadian membabitkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan lori jenis Hino.

Menurutnya, hasil siasatan awal, mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dari kilang papan Batu 5 menghala ke kedai di kawasan perindustrian di Mentakab.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori itu ternampak motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah bertentangan telah masuk ke laluannya.

"Pemandu lori itu cuba mengelak ke kiri tetapi kerana jarak terlalu hampir, kedua-duanya telah bertembung," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa bersama motosikalnya diseret dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara adiknya patah kaki kiri manakala pemandu tidak cedera.

Tambahnya, motosikal terbabit remuk manakala bumper bahagian kiri dan cermin hadapan pecah akibat kejadian tersebut

"Mayat mangsa dibawa Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk bedah siasat selepas mendapat keputusan saringan Covid-19 manakala adiknya dihantar ke hospital sama untuk rawatan selanjutnya.

"Polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan manakala kenderaan terlibat akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!