Polis selesai ambil keterangan Nadir, Caprice

 Caprice (kiri) dan Nadir Al-Nuri
Caprice (kiri) dan Nadir Al-Nuri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis selesai mengambil keterangan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice berhubung misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin pada Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua individu itu selesai diambil keterangan menerusi e-mel.

"Kita menghantar soalan-soalan yang perlu dijawab kepada mereka pada Ahad lalu sebelum mereka selesai menjawab semua soalan diberikan oleh pegawai penyiasat.

"Kita telah menerima e-mel balas bersama jawapan daripada mereka baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ashari berkata, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan kedua-dua individu berkenaan.

"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan, sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Pada 21 Ogos lalu, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia telah memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk berhubung dengan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan Caprice.

Artikel Berkaitan:

Ashari memberitahu, tindakan tersebut dilakukan berhubung laporan yang dilakukan pendakwah, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 21 Julai lalu.

Difahamkan, Ebit Lew membuat laporan polis selepas menerima tuduhan yang tidak berasas oleh beberapa individu ketika menyertai misi kemanusiaan di Gaza, Palestin baru-baru ini.