Fenomena 'bossku' bantu kemenangan BN

BN diumumkan menang di PRK DUN Semenyih dengan majoriti 1,914 undi. - Foto Sinar Harian SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A

SEMENYIH - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui fenomena 'bossku' membantu kemenangan BN pada PRK DUN Semenyih.

Najib berkata, fenomena itu terjadi secara organik.

"Ia tidak dirancang serta bukan pengarahan yang kita lakukan, tetapi ia terbit dari hati nurani rakyat khususnya generasi muda.

"Ini merupakan satu simbol bahawa hasrat orang muda yang ingin perjuangkan, apa yang dekat di hati mereka, kita anggap ia satu kepentingan," katanya.

Malah kata Najib, rakyat tidak mahu tahu kenapa PH selalu 'menyerangnya'.

"Rakyat mahu tahu bagaimana mereka hendak tunaikan janji pilihan raya," katanya.

Najib turut bersyukur atas kemenangan calon BN, Zakaria Hanafi pada PRK DUN Semenyih yang diumumkan keputusannya, malam ini.

"Ada beberapa sebab kemenangan ini antaranya kepercayaan rakyat berdasarkan apa yang dinyatakan oleh BN.

"Walaupun kita bukan merupakan kerajaan negeri dan Persekutuan, tetapi kita mempunyai agenda memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya.

Najib dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Semenyih.

"Ada peralihan, sebelum ini sebahagian daripada mereka sebelum ini mengundi PH, sudah tentu ramai yang menyokong BN pada hari ini," katanya.

Najib berkata, kerjasama mantap UMNO dan Pas turut membantu kemenangan BN pada PRK DUN Semenyih.

"Jentera UMNO, Pas, MIC, MCA dan badan bukan kerajaan turut membantu kemenangan," katanya.