Lebih 8,000 peserta MM2H tidak bermastautin di negara ini: Hamzah

Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sidang media pertama selepas memulakan tugas sebagai menteri KDN di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu. - Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sidang media pertama selepas memulakan tugas sebagai menteri KDN di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 8,000 daripada 57,478 peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) didapati tidak bermastautin di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mereka ini hanya masuk dan datang ke negara ini semasa mendaftar permohonan dan bagi memperbaharui pas.

“Maka saya akan meneliti secara mendalam status pemastautin tetap di bawah Program MM2H yang tidak aktif ini, kita akan lihat segala ruang dan potensi yang ada dengan memanggil mereka dan tanya apa niat mereka sebenarnya dalam program MM2H di negara kita,” katanya pada sidang media khasnya di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu.

Dilaporkan MM2H yang sebelum ini dibekukan kini beroperasi semula dengan beberapa penambahbaikan dan syarat baharu kepada peserta.

Mengulas lanjut, Hamzah menyeru semua pihak agar jangan berasa terganggu atau risau dengan penambahbaikan dan syarat baharu MM2H.

Hamzah berkata, sebagai menteri, beliau akan sentiasa meneliti keadaan peserta yang telah berdaftar dengan program berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan adakah mereka yang mempunyai pendapatan berjumlah RM1,000 sebulan wajar dibenarkan untuk menjadi peserta MM2H.

Menurutnya, ini kerana sekiranya dibenarkan menjadi peserta, mereka yang akan memperoleh keuntungan kerana mendapat subsidi yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

“Kita berikan subsidi minyak petrol, gula, gas dan banyak lagi subsidi-subsidi yang kita berikan.

“Maka peluang orang yang tinggal dalam negara kita ini sebenarnya kalau hanya mempunyai pendapatan yang agak sedikit mereka lebih untung,” katanya.

Katanya, apa yang dimahukan oleh kerajaan adalah peserta-peserta ini membantu menjana ekonomi negara.

“Sebab itu, kita tengok keseimbangan membantu mereka dan mereka menjana pendapatan ekonomi kita.

“Itu yang telah kita fikirkan bersama dan saya ingin maklumkan bahawa janganlah kita melihat dari satu sudut semata-mata. Saya hendak melihat setiap daripada kita melihat dari segi masa depan kita,” jelasnya.