Pekasam daging Tokmie IIa enak dan berkualiti

Suhaila merupakan salah seorang pengusaha daging pekasam jenama Tokmie Ila.
Suhaila merupakan salah seorang pengusaha daging pekasam jenama Tokmie Ila.
A
A
A

BUKAN hanya ikan dijadikan pekasam, namun kini daging dan ayam turut dijadikan pekasam bagi mempelbagaikan cita rasa masa kini.

Walaupun masih baharu, namun pekasam daging kini sudah mula menjadi pilihan ramai tambahan pula keenakan rasa dan kualiti daging yang digunakan memberi kepuasan maksimum kepada pembeli.

Salah seorang pengusaha daging pekasam jenama Tokmie Ila iaitu Suhaila Mohammad Noor berkongsi, pekasam yang disediakannya mempunyai peminat tersendiri memandangkan dia menjual makanan tersebut dalam konsep sejuk beku.

Berdepan pandemik Covid-19, ia cukup memeritkan Suhaila dan keluarga memandangkan sebelum ini mereka hanya berniaga secara kecil-kecilan.

Dari situlah timbulnya kesedaran untuk mereka berniaga dengan konsep yang lebih sesuai dengan keadaan semasa memandangkan ketika ini masing-masing perlu menjaga diri daripada penularan Covid-19.

Ibu kepada lima cahaya mata ini memberitahu, idea untuk menghasilkan pekasam daging timbul daripada salah seorang anaknya, Nur Atirah Atika Alias, 25, yang juga seorang peniaga di Kuala Lumpur.

Suhaila berkata, ketika Atirah pulang untuk berpantang di rumahnya di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang di sini hujung Mac lalu, mereka berbincang sekeluarga dan bersetuju untuk mengusahakan daging pekasam tersebut.

“Dengan bantuan suami dan anak-anak, kami mulakan perniagaan dengan sekilogram daging. Hari demi hari, alhamdulillah kini hampir 120 kilogram sehari daging kami perlu proses untuk dijadikan pekasam.

Artikel Berkaitan:

“Ia bergantung kepada keperluan dan permintaan semasa. Semuanya kami buat sendiri, bermula dari proses pekasam sehinggalah pembungkusan, memandangkan kita perlu patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan masa kini, jadi kami risau untuk ambil pekerja yang ramai,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, bulan pertama perniagaan mereka sekeluarga membuahkan hasil yang lumayan ribuan ringgit dan kini Pekasam Daging Tokmie Ila mempunyai lebih 10 ejen utama dan stokis di seluruh Malaysia.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, namun Suhaila yakin, rezeki itu adalah rahsia ALLAH kepada setiap hambanya.

Suhaila menyimpan stok dalam peti yang disediakan di rumahnya sebelum dihantar kepada pelanggan.
Suhaila menyimpan stok dalam peti yang disediakan di rumahnya sebelum dihantar kepada pelanggan.

“Adat berniaga ada ujiannya, kami pun pernah kerugian hampir RM8,000, namun itu asam garam dalam berniaga dan perkara ini bukan satu benda yang pelik bagi kami.

“Saya sudah diasuh menjadi seorang peniaga, anak-anak pun ada yang mewarisi minat saya ini. Maka mudahlah bagi kami untuk hadapi semua ini dengan tenang,” katanya.

Proses pemasaran

Ketika ditanya mengenai inisiatif pemasaran yang digunakan, Suhaila memberitahu, dia hanya mengiklankan daging pekasamnya melalui aplikasi WhatsApp kepada rakan-rakan yang dikenali.

Malah perkara yang sama turut dilakukan oleh suami dan anak-anaknya sehinggalah mereka kini mempunyai ribuan peminat tetap pekasam berkenaan.

“Kami kan berniaga sebelum ini, jadi kami jual kepada pembeli-pembeli sedia ada. Dari situlah mula berkembangnya jualan pekasam ini. Alhamdulillah, itu saja cara kami untuk sama-sama cari rezeki dengan agen-agen yang kami lantik.

“Kami wujudkan agen dan stokis ini bagi memudahkan pemasaran pekasam berkenaan. Anak-anak mahu saya buat jualan dan pemasaran yang lebih bersistematik.

“Maka saya ikut saja perancangan mereka dan kini kami masih lagi mengalu-alukan sambutan orang ramai pada pekasam kami ini. Dengan harga yang cukup murah, saya yakin, semua orang mahu mencuba pekasam ini,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Suhaila memberitahu, dia merancang untuk membuka sekurang-kurangnya dua stokis utama di setiap negeri di seluruh Malaysia.

Malah katanya, tidak mustahil juga ia akan diperkenalkan ke negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Tidak takut mencuba, itulah yang sentiasa dipegang Suhaila dan keluarganya dalam setiap gerak kerja yang dilakukan seharian dan walaupun penat, namun ia bukan alasan untuk mereka melangkah lebih jauh dari semasa ke semasa selepas ini.

Antara bungkusan yang perlu dihantar ke seluruh Malaysia setiap hari.
Antara bungkusan yang perlu dihantar ke seluruh Malaysia setiap hari.