Empat golongan diberi laluan khas ke UA

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

BATU PAHAT - Empat kumpulan pelajar akan diberikan laluan khas bagi kemasukan ke universiti awam (UA) tahun ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, empat kumpulan tersebut terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), atlet, orang asli dan golongan daripada keluarga berpendapatan B40.

"Golongan ini tidak perlu bersaing dengan kumpulan calon arus perdana dan hanya perlu memenuhi syarat khas yang telah ditetapkan oleh universti dipilih dan akan bersaing dalam kalangan kelompok mereka sendiri saja," katanya ketika berucap merasmikan program Jom Masuk IPT 2019 di kampus induk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, hari ini.

Katanya, polisi ini adalah manifestasi kepada konsep pendidikan untuk semua yang bertunjangkan falsafah peluang yang saksama.

Sementara itu, mengulas mengenai Jom Masuk IPT 2019, Maszlee berkata, kementerian melihat ia sebagai 'signature programme' dan perlu digerakkan dengan lebih berkesan.

"Program ini akan terus menjadi pusat sehenti bermaklumat untuk mendapatkan info tepat dan terkini mengenai peluang dan ruang pendidikan tinggi di Malaysia.

"Khususnya mengenai urusan kemasukan ke UA, politeknik, kolej komuniti, institut latihan kemahiran awam dan institusi lain bagi sesi akademik 2019/2020," katanya.

Program ini juga akan diadakan di lima zon seluruh negara iaitu Zon Sabah di Kota Kinabalu (9 dan 10 Mac), Zon Utara di Universiti Sains Malaysia (9 dan 10 Mac), Zon Timur di Kota Bharu (16 dan 17 Mac), Zon Sarawak di Kuching (23 dan 24 Mac) dan Zon Tengah di Maeps Serdang (30 dan 31 Mac).

Artikel Berkaitan: