Banci bersemuka dijadualkan September depan

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Selaras dengan perkembangan kadar vaksinasi Covid-19 terus meningkat, banci bersemuka dan bersasar dijadualkan bermula pada September depan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, banci itu akan dijalankan sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tertakluk kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Strategi tersebut adalah bagi memastikan semua penduduk Malaysia diliputi dalam Banci Malaysia 2020 menjelang tarikh akhir operasi pada 31 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan pelbagai berita berkaitan statistik dan survei khas ke atas syarikat dan individu terpilih bagi melihat sejauh mana sosio ekonomi negara terkesan akibat pandemik.

Kata beliau, usaha tersebut adalah untuk membantu kerajaan dalam mengatur strategi pemulihan ekonomi negara daripada kesan Covid-19.

“Penularan pandemik telah dijadikan semangat kekitaan seluruh warga DOSM untuk terus cekal dalam usaha menghasilkan statistik demi negara tercinta.

“Saya percaya dengan mewarisi sistem statistik yang mantap daripada pemimpin dan pegawai terdahulu akan kekal menjadikan DOSM sebagai penjana statistik negara yang menjadi nadi kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir mengucapkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi dan warga DOSM dalam menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan semangat kemerdekaan untuk mengekalkan kejayaan yang dikecapi pada masa lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dengan tanggungjawab dipegang, kejayaan lebih besar akan dapat dicapai pada masa akan datang dengan membekalkan maklumat yang diperlukan negara.

“Alhamdulillah hari ini, 31 Ogos 2021 bersamaan 22 Muharram 1443 Hijri, Banci Malaysia telah memasuki hari ke-421.

“Dalam usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19, pelaksanaan Banci Malaysia 2020 telah melalui beberapa fasa penjadualan dan penyesuaian semula tempoh operasi banci,” katanya.