X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Vaksin kekang penularan, lawan varian Delta

Dari kiri: Dr Mahaletchumy Arujanan dan Datuk Dr Christopher Lee pada sesi webinar bertajuk Merdeka Daripada Covid-19.
A
A

SHAH ALAM- Vaksin Covid-19 yang sedia ada yang digunakan masih berupaya melawan varian Delta dan memberi perlindungan mencukupi, kata bekas Penasihat Kebangsaan Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Christopher Lee.

Menurut beliau, vaksin adalah cara terulung untuk mengekang penularan virus itu dalam komuniti.

“Namun ia adalah seperti satu perlumbaan.

Kalau lebih ramai orang dijangkiti, risiko varian baharu akan berlaku. Jika tidak ramai dijangkiti, risiko mutasi akan berkurang.

“Sebab itu, kita perlu vaksinkan orang ramai segera sebelum virus itu berjangkit,” kata beliau dalam sesi webinar bertajuk, Merdeka Daripada Covid-19 anjuran Science Media Centre (SMC) Malaysia dan The Petri Dish.

Menurutnya, orang ramai perlu divaksin secepat mungkin bagi mengurangkan kadar penularan varian-varian Covid-19 yang lebih berbahaya.

Vaksinasi jelas beliau merupakan cara terbaik untuk mengurangkan kadar mutasi virus Covid-19 dalam komuniti.

“Setiap kali virus Covid-19 merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain, mutasi virus boleh berlaku.

Jika ia tidak berpeluang untuk merebak, ia tidak akan dapat bermutasi.

“Berdasarkan fakta itu, sekiranya satu komuniti dijangkiti, risiko mutasi akan meningkat dan lama-kelamaan ia akan menjadi varian yang dominan seperti Delta sekarang,” ujarnya.

Mutasi kata beliau adalah perubahan yang berlaku pada bahan genetik semasa proses replikasi untuk menghasilkan virus yang mempunyai sifat berbeza berbanding virus asal.

Tambah beliau, biarpun virus Covid-19 sudah beberapa kali bermutasi, namun varian Delta yang kini dominan di seluruh dunia merupakan yang paling berbahaya ketika ini.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini turut memberi amaran kepada dunia agar segera mengekang varian Delta sebelum ia bermutasi lagi dan menjadi jauh lebih teruk,” ujarnya.

Tambah Dr Christopher, selain mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 selepas menerima vaksin, kajian terbaharu menunjukkan tempoh varian Delta membiak di dalam hidung individu yang divaksin juga lebih singkat berbanding mereka yang belum divaksin.

Katanya, tempoh masa virus itu membiak di dalam hidung mereka yang sudah menerima vaksin akan menurun sebanyak 50 peratus lebih cepat berbanding golongan yang belum menerima vaksin.

“Misalnya, bagi yang belum divaksin, virus itu didapati membiak di dalam hidung selama seminggu berbanding hanya tiga hari bagi mereka yang sudah divaksin, sekali gus mengurangkan kadar jangkitan,” ujarnya.

Vaksinasi kata beliau penting bagi melindungi golongan yang masih belum menerimanya seperti kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Setakat ini, kata beliau hanya kanak-kanak dan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun dijangka akan diberikan vaksin Covid-19 menerusi fasa ke lima Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, khususnya bagi golongan yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

“Sementara itu, ujian klinikal masih sedang dijalankan terhadap kanak-kanak di bawah usia 12 tahun,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!