Penajaan Perak FC: Belum ada keputusan muktamad

Khairul Shahril
Khairul Shahril
A
A
A

PERAK FC mengesahkan telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat korporat tempatan bagi penajaan kelab itu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim depan.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak telah dijalankan pada bulan lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, tiada sebarang keputusan telah dimuktamadkan setakat ini.

"Secara dasarnya telah ada perbincangan cuma belum ada lagi kata putus lagi berkaitan.

Doakan sama-sama tetapi pastinya ia tidak akan berlaku pada musim ini, ia akan berlaku pada musim akan datang.

"Saya juga serahkan kepada Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh untuk menguruskan segala urusan berkaitan dengan sukan bola sepak ini khususnya dalam usaha mencari penaja-penaja.

"Harapan agar doa semua peminat untuk Perak FC untuk mendapat penaja baik untuk musim akan datang," katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Kebangsaan 2021 peringkat daerah Perak Tengah di Majlis Daerah Perak Tengah di sini pada Selasa.

Pada 8 April lalu, media melaporkan Perak FC telah menawarkan pegangan saham kelab bola sepak itu kepada mana-mana pihak yang berminat sebagai antara langkah menyelesaikan kemelut kewangan yang melanda skuad The Bos Gaurus.

Artikel Berkaitan:

Khairul Shahril yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Perak FC berharap peminat dapat terus memberi sokongan padu kepada pasukan ini dalam misi untuk kekal dalam Liga Super.

"Kita doakan sama-sama semoga baki dua perlawanan Liga Super ini kita berjaya.

"Sebenarnya juga telah nampak kesan positif dalam pasukan kita dan terima kasih kepada Azman yang bersedia urus tadbir pasukan kita,” katanya.